BEBERAPA hari lalu dilaporkan bahawa lagu Cinta Tersimpul Rapi versi janaan AI oleh Jane In Heaven berjaya menduduki tangga teratas carta iTunes Malaysia.
Walaupun bukan dinyanyikan manusia, lagu itu tular di TikTok dan meraih lebih 4.4 juta tontonan di YouTube.
Advertisement
Namun semalam, lagu yang pada asalnya dinyanyikan Anis Suraya hampir 30 tahun lalu telah dipadam daripada semua platform muzik digital. Ia tidak lagi boleh dibeli menerusi platform Apple.
Pada masa sama, video lagu berkenaan di YouTube turut dipadam dengan mesej bahawa hak cipta telah dituntut oleh Suria Records (SRC).
Lagu asal Cinta Tersimpul Rapi adalah hasil ciptaan komposer Azmeer dengan lirik oleh Lukhman S.
Lebih 40 lagu saduran janaan AI di saluran Jane In Heaven turut dipadam, termasuk lagu-lagu popular yang asalnya dinyanyikan oleh M Nasir, Aishah, Search dan Sudirman.
Hanya sembilan lagu asal Jane In Heaven dilaporkan masih kekal di saluran itu semalam.
Dalam kenyataan rasmi, Badan Perlindungan Hak Cipta Karyawan Malaysia (MACP) menegaskan bahawa perlindungan hak cipta hanya diberikan kepada manusia sebenar.
Karya kreatif, menurut MACP, mesti dihasilkan melalui pengalaman hidup, tenaga kerja dan kemahiran penulis lagu manusia, dan bukannya kod.
Kenyataan itu turut menegaskan bahawa AI tidak boleh menuntut hak undang-undang atau ganjaran kewangan bagi hasil ciptaan.
Garis panduan ini selari dengan pendirian Pejabat Paten dan Cap Dagangan Amerika Syarikat (USPTO), yang menyatakan bahawa karya janaan AI tidak boleh dimiliki sesiapa pun, termasuk individu yang memasukkan arahan kerana hak cipta hanya boleh dianugerahkan kepada manusia. -Amanz