Skip to main content

Teknologi

Ciri kongsi eSim iPhone Handoff dikenakan yuran bulanan

Ciri iPhone Handoff Yang Berkongsi Satu SIM Pada Dua iPhone Memerlukan Yuran Bulanan -- AMANZ
Setakat ini, belum ada maklumat rasmi mengenai sokongan atau kadar bayaran yang mungkin dikenakan oleh syarikat telekomunikasi di Malaysia sekiranya ciri berkenaan diperkenalkan pada masa depan. -Foto Amanz
Advertisement

CUPERTINO: Ciri baharu iPhone Handoff yang diperkenalkan menerusi sistem operasi iOS 27 membolehkan pengguna menggunakan satu nombor telefon yang sama merentasi dua peranti iPhone melalui teknologi eSIM.

Menerusi ciri itu, pengguna boleh beralih antara dua iPhone dengan mudah tanpa perlu memindahkan kad SIM fizikal atau melanggan talian selular berasingan, lapor Amanz.

Hanya satu peranti akan aktif pada satu-satu masa, manakala panggilan, mesej, mel suara dan data selular akan berpindah secara automatik ke iPhone yang digunakan.

Bagaimanapun, maklumat terbaharu yang dikongsi Apple selepas pelancaran iPhone 18 Pro menunjukkan penggunaan ciri berkenaan mungkin melibatkan bayaran tambahan yang dikenakan oleh syarikat telekomunikasi.

Pada peringkat awal, sokongan iPhone Handoff hanya ditawarkan kepada pelanggan T-Mobile di Amerika Syarikat dan Deutsche Telekom di Jerman.

T-Mobile dilaporkan mengenakan caj tambahan sebanyak AS$5 (kira-kira RM21) sebulan kepada pelanggan yang mahu mengaktifkan ciri tersebut pada peranti mereka.

Setakat ini, belum ada maklumat rasmi mengenai sokongan atau kadar bayaran yang mungkin dikenakan oleh syarikat telekomunikasi di Malaysia sekiranya ciri berkenaan diperkenalkan pada masa depan.

Pengenalan iPhone Handoff dijangka memberi lebih banyak fleksibiliti kepada pengguna yang memiliki dua iPhone untuk tujuan berbeza, seperti kegunaan kerja dan peribadi, tanpa perlu mengekalkan dua nombor telefon yang berasingan.

Must Watch Video

Advertisement