Skip to main content

Teknologi

Google jenamakan semula NotebookLM kepada Gemini Notebook

Google NotebookLM Dijenamakan Semula Menjadi Gemini Notebook
Langkah itu dilakukan susulan pertumbuhan pesat platform berkenaan yang kini digunakan oleh lebih 30 juta pengguna dan 600,000 organisasi di seluruh dunia. -Foto Amanz
Advertisement

GOOGLE secara rasmi menjenamakan semula alat penyelidikan kecerdasan buatan (AI) miliknya, NotebookLM, kepada Gemini Notebook, lapor Amanz.

Langkah itu dilakukan susulan pertumbuhan pesat platform berkenaan yang kini digunakan oleh lebih 30 juta pengguna dan 600,000 organisasi di seluruh dunia.

Alat penyelidikan AI itu diperkenalkan pada 2023 sebagai Project Tailwind sebelum dinamakan NotebookLM. Ia berfungsi membantu pengguna merumuskan dokumen panjang seperti nota kuliah bagi memudahkan proses pembelajaran dan penyelidikan.

Google kemudian menambah keupayaan menghasilkan ringkasan audio serta menjana podsiar secara automatik.

Walaupun dijenamakan semula, Gemini Notebook masih kekal sebagai produk kendiri yang memberi tumpuan kepada fungsi penyelidikan, di samping menerima integrasi lebih mendalam dengan aplikasi Gemini dan Google Search.

Menerusi kemas kini terbaharu, Gemini Notebook turut dilengkapi dengan persekitaran perkomputeran awan yang selamat, membolehkannya menulis dan melaksanakan kod secara natif untuk analisis data yang lebih kompleks berdasarkan sumber yang dimuat naik pengguna.

Pada masa akan datang, pengguna juga boleh mengakses notebook mereka secara langsung menerusi AI Mode dalam Google Search, selain aplikasi Gemini dan platform Gemini Notebook.

Ciri baharu itu kini tersedia kepada pelanggan Google AI Ultra serta pelanggan Workspace yang layak, manakala pelanggan Google AI Pro akan menerima akses menerusi platform web dalam beberapa minggu akan datang.

 

Must Watch Video

Advertisement