Skip to main content

Teknologi

Google lancar Google Pics, platform reka bentuk imej AI berasaskan Nano Banana

Google Pics Dilancarkan Untuk Janaan dan Suntingan Gambar Menggunakan Nano Banana -- AMANZ
Melalui Google Pics, pengguna boleh menjana imej menggunakan arahan teks dan kemudian menyunting setiap objek dalam imej secara berasingan menggunakan arahan tambahan. -Foto Amanz
Advertisement

SAN FRANCISCO: Google melancarkan Google Pics, platform penciptaan dan penyuntingan imej baharu yang dibangunkan berasaskan model kecerdasan buatan (AI) Nano Banana bagi membolehkan pengguna menghasilkan serta mengubah suai grafik dengan lebih tepat, lapor Amanz.

Perkhidmatan itu beroperasi secara berasingan daripada Google Photos dan fungsi penjanaan imej yang tersedia dalam Gemini, dengan tumpuan khusus kepada proses penciptaan serta penyuntingan kandungan visual.

Melalui Google Pics, pengguna boleh menjana imej menggunakan arahan teks dan kemudian menyunting setiap objek dalam imej secara berasingan menggunakan arahan tambahan.

Keupayaan penyuntingan berasaskan objek itu membolehkan pengguna mengubah elemen tertentu tanpa menjejaskan bahagian lain pada imej, sekali gus menawarkan kawalan yang lebih tepat berbanding banyak model generatif terdahulu.

Selain menyunting objek, Google Pics turut membolehkan teks yang terdapat dalam imej diubah atau diterjemahkan ke bahasa lain tanpa menjejaskan reka bentuk asal. Ciri itu dijangka memudahkan penghasilan bahan pemasaran untuk pelbagai pasaran global.

Google berkata platform itu turut direka untuk mengurangkan kesilapan lazim dalam imej yang dijana AI, selain memberikan lebih banyak kawalan kepada pengguna semasa proses penyuntingan.

Google Pics juga disepadukan terus ke dalam aplikasi Google Workspace seperti Google Docs dan Google Slides, membolehkan pengguna menghasilkan atau menyunting imej tanpa perlu beralih ke aplikasi lain. Integrasi dengan Google Drive pula dijangka ditambah dalam masa terdekat.

Selain itu, platform berkenaan menyokong perkongsian dan kerjasama secara langsung antara ahli pasukan bagi memudahkan pembangunan bahan visual untuk kegunaan organisasi dan perniagaan.

Google Pics kini mula dilancarkan secara berperingkat kepada pelanggan Google AI Pro, Google AI Ultra serta beberapa pelan perniagaan Google Workspace di peringkat global.

Must Watch Video

Advertisement