KUALA LUMPUR: Bagi sesiapa yang melewati zaman kanak-kanak era 90-an, pasti mengenali tajuk animasi Usop Sontorian & Keluang Man.

Pagi hujung minggu anda sangat bermakna menonton siri animasi yang ditayangkan sehingga tengah hari.

Dari siri animasi tempatan sehinggalah ke siri animasi antarabangsa, itulah pengalaman yang dirasai kanak-kanak di zaman itu.

Siapa sahaja yang tidak mengenali kartun animasi ini pada era 90-an?

Enjin carian terbesar dunia Google memberi penghargaan kepada Tokoh Penglipurlara Animasi Malaysia Allahyarham Datuk Kamaruddin Ismail atau lebih dikenali sebagai Kamn Ismail menerusi ‘Google Doodle’.

Sempena hari kelahiran beliau tanggal 8 Februari 1956, Google Malaysia melahirkan rasa terhormat kepada figura animasi ini dengan memaparkan sebuah Doodle bagi memperingati jasa beliau dalam mengangkat industri animasi Malaysia pada era nya.

Pengurus Pemasaran Produk, Judy Wong, dalam kenyataannya berkata, “Ini adalah sebuah penghargaan kepada Kamn Ismail kerana telah menyumbang jasa sebagai pelopor animasi pertama dalam negara, justeru Google menghasilkan sebuah Doodle khas kepada beliau sama seperti figura-figura Malaysia yang pernah dipaparkan sebelum ini.”

Sebelum ini Google Doodle pernah mempamerkan figura-figura hebat seperti, Allahyarham Tan Sri P. Ramli, Seniwati Saloma, Pemain Bola Sepak Dato’ Mokhtar Dahari, Tokoh Budaya Melayu Azah Aziz, ahli Zoologi Dr Lim Boo Liat dan ramai lagi.

Anak kelahiran Pengkalan Balak, Melaka ini yang juga Pengarah Animasi Siri TV pertama Malaysia telah dinobatkan sebagai Tokoh Penglipurlara Animasi Malaysia oleh Rumah Kartun & Komik Malaysia serta Persatuan Animasi Malaysia (ANIMAS) pada malam Anugerah Kartunis dan Hari Kartunis 2018 di Muzium Negara.

Penghargaan ini adalah dari hasil karya popular siri animasi Usop Sontorian dan Keluang Man.

Kamn Ismail menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 8 Disember 2019 di Pusat Perubatan Universiti Malaya akibat serangan jantung.

Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Tandang, Petaling Jaya.