CIRI Google Search Live kini tersedia untuk pengguna di Malaysia, seiring dengan pelancaran model kecerdasan buatan (AI) Gemini 3.1 Flash Live.
Sebelum ini, ciri carian interaktif ini hanya tersedia di Amerika Syarikat dan India, lapor Amanz.
Advertisement
Melalui Search Live, pengguna boleh mencari maklumat menggunakan perbualan suara secara langsung dalam aplikasi Google pada telefon pintar mereka.
Ikon Gemini kini dipaparkan berhampiran AI Mode dan Nano Banana bagi memudahkan akses.
Google berkata Search Live berfungsi seperti Gemini Live, yang turut membolehkan carian visual menggunakan kamera peranti.
Dengan integrasi Gemini 3.1 Flash Live, perbualan menjadi lebih realistik dan semula jadi, selain mengurangkan masa pendam sebelum jawapan diberikan.
Ciri baharu ini menyokong perbualan dalam Bahasa Melayu dan 90 bahasa lain di 200 negara dan wilayah di seluruh dunia.
Pengguna boleh membuka aplikasi Google pada peranti mereka untuk memulakan interaksi suara yang lebih lancar.
Langkah membawa fungsi ini ke pasaran tempatan dilihat sebagai usaha Google mengukuhkan ekosistem AI dalam kalangan pengguna di Asia Tenggara yang terus berkembang.