FIRMA kecerdasan buatan Arab Saudi, Humain, disahkan melabur sebanyak AS$3 bilion dalam syarikat kecerdasan buatan milik Elon Musk, xAI, sebagai sebahagian daripada pusingan pembiayaan Series E yang diumumkan awal tahun ini.
Pelaburan berkenaan dibuat sebelum xAI diambil alih oleh SpaceX, sekali gus menyebabkan pegangan Humain ditukar kepada saham SpaceX.
Advertisement
Menurut laporan antarabangsa, pembiayaan Series E xAI berjumlah AS$20 bilion, bertujuan mempercepat pembangunan model AI generatif dan infrastruktur berskala besar bagi menyaingi OpenAI serta Anthropic.
Pelaburan Humain menjadikannya antara pemegang saham minoriti signifikan dalam entiti baharu yang menyatukan teknologi AI dan infrastruktur angkasa lepas di bawah SpaceX.
Langkah itu juga memperkukuh kerjasama strategik antara Humain dan xAI, termasuk projek membangunkan 500 megawatt infrastruktur pusat data AI di Arab Saudi.
Inisiatif ini selaras dengan usaha negara tersebut mempelbagaikan ekonomi dan memperluas kapasiti teknologi tinggi di bawah agenda transformasi digitalnya.
Pelaburan ini dilihat membuka laluan kepada akses teknologi lebih maju, selain meningkatkan kedudukan Arab Saudi sebagai hab kecerdasan buatan global melalui sokongan modal dan pengembangan infrastruktur berkaitan. -Amanz