Skip to main content

Teknologi

IBM pacu Asia Pasifik terajui era perusahaan AI menjelang 2030

IBM Think Singapore, IBM  Credit: IBM
IBM menggariskan pelan tindakan untuk membantu organisasi beralih menjadi perusahaan berteraskan kecerdasan buatan (AI) menjelang 2030, dengan penekanan terhadap tadbir urus AI, kedaulatan data dan penggunaan teknologi itu pada skala besar. -Gambar/ IBM
Advertisement

SINGAPURA: IBM menggariskan pelan tindakan untuk membantu organisasi beralih menjadi perusahaan berteraskan kecerdasan buatan (AI) menjelang 2030, dengan penekanan terhadap tadbir urus AI, kedaulatan data dan penggunaan teknologi itu pada skala besar.

IBM berkata, pasaran kini beralih daripada eksperimen AI secara berasingan kepada tadbir urus lebih terselaras yang berteraskan orkestrasi AI.

"Peralihan itu berlaku ketika organisasi meningkatkan pelaburan dalam AI agentik dan menjangkakan teknologi berkenaan akan memberi sumbangan lebih besar kepada pendapatan," katanya dalam kenyataan sempena persidangan tahunan IBM THINK on Tour Singapore pada 21 Julai.

Turut hadir pada persidangan itu, Menteri Pembangunan Digital dan Penerangan Singapura, Josephine Teo.

Persidangan itu mempamerkan bagaimana IBM membantu perusahaan serantau mentadbir, mengorkestrasi dan memperluas penggunaan AI menerusi penyelesaian kedaulatan digital termaju serta awan hibrid.

Mengulas lanjut, kenyataan itu menyebut, berdasarkan kajian, 79 peratus eksekutif global menjangkakan AI akan menyumbang secara signifikan kepada pendapatan organisasi mereka menjelang 2030.

Kajian sama turut mendapati kira-kira 80 peratus eksekutif global meningkatkan pelaburan dalam AI agentik, manakala perbelanjaan berkaitan ejen AI dijangka meningkat hampir tiga kali ganda menjelang 2027.

Pengurus Besar IBM Asia Pasifik, Hans Dekkers, berkata rantau Asia Pasifik berada pada kedudukan yang unik untuk muncul sebagai peneraju dalam peralihan ke arah perusahaan berteraskan AI.

“Asia Pasifik berada pada kedudukan yang unik untuk menjadi peneraju dalam perlumbaan ke arah perusahaan berteraskan AI. Rantau ini sudah berdepan dengan realiti peraturan yang berbeza-beza, keperluan kedaulatan data dan persekitaran hibrid yang kompleks pada skala besar,” katanya dalam kenyataan itu.

Beliau berkata, organisasi di rantau ini kini semakin memberi tumpuan kepada pembangunan AI berdaulat dengan mengutamakan aspek kepercayaan, keselamatan, kawalan dan pematuhan sejak peringkat awal pembangunan sistem.

Menurut IBM, 68 peratus eksekutif menganggap lokasi penyimpanan dan kedaulatan data sebagai cabaran dalam pelaksanaan AI.

Pada masa yang sama, 72 peratus ketua pegawai eksekutif di Asia Pasifik dilaporkan bersedia membuat keputusan strategik berasaskan AI.

Selain membentangkan strategi AI perusahaan, IBM turut mengumumkan beberapa inovasi dalam bidang data, AI dan pengkomputeran kuantum bagi membantu organisasi melaksanakan AI pada skala besar, mempercepat inovasi dan menghasilkan pencapaian perniagaan yang boleh diukur.

Dalam sektor pertahanan, Komander SAF C4 and Digitalisation Command Singapura, Guo Jinghua berkata, kerjasama antara Digital and Intelligence Service (DIS), Defence Science and Technology Agency (DSTA) dan IBM memberi tumpuan kepada pembangunan kepakaran dalam bidang pengkomputeran kuantum.

“Dengan melabur dalam tenaga kerja dan keupayaan kami hari ini, kami akan lebih bersedia untuk memanfaatkan teknologi kuantum apabila teknologi itu semakin matang,” katanya.

IBM dan Visionbay.ai turut menjalinkan kerjasama bagi menyokong pembangunan infrastruktur AI yang membolehkan pemilikan tempatan terhadap infrastruktur kritikal, selain membantu mempercepat penggunaan AI dan pembangunan bakat dalam sektor digital.

Ketua Pegawai Eksekutif Visionbay.ai, Neo Yao, berkata kerjasama itu bertujuan mewujudkan asas yang membolehkan penggunaan AI dipercayai diperluaskan di rantau Asia.

Dalam sektor penjagaan kesihatan, Changi General Hospital memanfaatkan AI, realiti campuran dan watsonx Orchestrate bagi menyokong latihan kesiapsiagaan menghadapi insiden melibatkan ramai mangsa pediatrik atau Pediatric Mass Casualty Incident (MCI).

Perunding Kanan Jabatan Perubatan Kecemasan hospital itu, Profesor Penolong Adjung Jimmy Goh, berkata penggunaan teknologi berkenaan membolehkan penilaian prestasi dilakukan secara lebih objektif, selain membantu meningkatkan proses membuat keputusan dan memperluas amalan terbaik dalam kalangan pasukan penjagaan kesihatan.

Mengulas hala tuju AI perusahaan, Dekkers berkata organisasi yang berjaya dalam ekonomi AI menjelang 2030 ialah mereka yang mampu mengintegrasikan AI dalam setiap aspek operasi dan perniagaan.

“Kejayaan bergantung pada tiga asas utama, iaitu AI yang dipercayai, data sedia AI serta asas digital terbuka, hibrid dan berdaulat yang dibangunkan untuk skala besar.

“Organisasi yang mempunyai asas ini akan mampu bergerak melangkaui peringkat eksperimen dan melaksanakan AI dengan yakin,” katanya.

Menurut IBM, syarikat itu turut mempamerkan peluasan penyelesaian pengurusan AI perusahaan dan awan hibrid, termasuk IBM watsonx Orchestrate, IBM Confluent, IBM Concert, IBM Sovereign Core dan IBM Bob.

Persidangan IBM THINK on Tour Singapore menghimpunkan pemimpin perniagaan, pembuat dasar dan inovator bagi membincangkan perkembangan AI, AI agentik serta pengkomputeran kuantum dan potensinya untuk meningkatkan produktiviti, mempercepat inovasi serta mengukuhkan daya saing organisasi pada masa depan.

 

Must Watch Video

Advertisement