Skip to main content

Teknologi

IIAMNC 2026: AI pacu audit lebih cekap, risiko perlu diurus

CIMB, Amran Mohamad -- AWANI
Amran juga berpandangan bahawa prinsip human in the loop perlu dikekalkan dengan memastikan hasil yang dijana AI diperiksa manusia sebelum tindakan seterusnya diambil. - Foto Astro AWANI
Advertisement

KUALA LUMPUR: Penggunaan kecerdasan buatan (AI) mampu mempercepat proses audit, namun setiap keputusan yang dihasilkan teknologi itu masih perlu disemak manusia bagi mengelakkan kesilapan yang boleh menjejaskan organisasi.

Ketua Juruaudit Dalaman Kumpulan CIMB, Amran Mohamad berkata, antara risiko utama penggunaan AI ialah model hallucination, iaitu apabila sistem menghasilkan keputusan yang salah, selain isu kualiti data yang boleh mempengaruhi ketepatan hasil.

“AI kini digunakan untuk membuat keputusan dan dalam sesetengah keadaan, keputusan itu terus sampai kepada pelanggan. Jadi, sudah tentu ada risiko berlaku kesilapan.

“Dalam konteks risiko AI, kita panggilnya model hallucination, iaitu apabila AI menghasilkan keputusan yang salah.

“Kedua ialah data. AI menghasilkan keputusan berdasarkan data. Kalau kualiti data tidak baik, hasil keputusan juga tidak akan baik. Jadi, dalam penggunaan AI, kita perlu memastikan kualiti data berada pada tahap yang baik,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri IA Malaysia National Conference (IIAMNC 2026) di ibu negara pada Isnin.

Pada masa sama, prinsip human in the loop perlu dikekalkan dengan memastikan hasil yang dijana AI diperiksa manusia sebelum tindakan seterusnya diambil.

“Dalam AI, kita sentiasa tekankan konsep human in the loop. Maksudnya, mesti ada seseorang yang melihat dan menyemak hasil yang diberikan AI sebelum kita pergi ke langkah seterusnya,” katanya.

Dalam bidang audit, Amran berkata, AI boleh digunakan untuk mempercepat proses yang sebelum ini dilakukan secara manual, termasuk mentafsir prosedur operasi standard (SOP), menyemak pematuhan dan meneliti dokumen.

Menurutnya, penggunaan teknologi itu boleh memendekkan tempoh sesetengah tugasan audit daripada sehari kepada hanya beberapa minit.

“Dengan AI, proses itu menjadi sangat cepat. Kerja yang sebelum ini mengambil masa sehari boleh dilakukan dalam masa lima minit.

“Tetapi yang paling penting ialah kembali kepada prinsip human in the loop. Kita tidak boleh biarkan AI buat keputusan dan terus laporkan hasilnya. Kita perlu pastikan keputusan daripada AI benar-benar membawa hasil yang kita mahukan,” tambahnya.

Beliau berkata, perkembangan AI tidak akan menghapuskan keperluan terhadap juruaudit dalaman, sebaliknya mengubah cara profesion itu berfungsi dengan juruaudit perlu menguasai teknologi, analitik data serta memahami risiko dan strategi perniagaan.

Peranan juruaudit dalaman juga semakin berkembang daripada sekadar memeriksa pematuhan kepada fungsi yang lebih strategik dalam membantu organisasi mengenal pasti serta menangani risiko baharu.

Must Watch Video

Advertisement