Skip to main content

Teknologi

iQIYI lancar Nadou Pro, ejen AI jana drama tanpa pelakon fizikal

https://amanz.my/2026561263
Pelancaran Nadou Pro mencetuskan kontroversi apabila beberapa pelakon yang tersenarai dalam pangkalan data sistem itu mendakwa tidak pernah memberikan kebenaran untuk penggunaan imej mereka. -Foto Amanz

PLATFORM penstriman China, iQIYI, mengumumkan pelancaran ejen kecerdasan buatan (AI) terbaharunya, Nadou Pro, yang berupaya menghasilkan kandungan video profesional secara automatik tanpa memerlukan kehadiran fizikal manusia di set penggambaran.

Menurut iQIYI, sistem berkenaan dilengkapi pangkalan data merangkumi profil kira-kira 100 pelakon popular China, sekali gus membolehkan kandungan seperti drama pendek dijana sepenuhnya secara digital, lapor Amanz.

Advertisement

Nadou Pro menyokong keseluruhan aliran kerja produksi, bermula daripada penulisan skrip, reka bentuk watak, lakon layar (storyboard), pengarahan visual, hingga kepada penghasilan output akhir.

Berbeza dengan OpenAI Sora yang lebih tertumpu kepada penjanaan klip video pendek, Nadou Pro direka khusus bagi penghasilan kandungan naratif panjang untuk kegunaan drama dan filem, dengan keupayaan yang setara penyelesaian AI lain seperti Seedance 2.0 milik ByteDance.

Keunikan ejen AI itu terletak pada gabungan model QiZhi milik iQIYI bersama beberapa model pihak ketiga, termasuk Seedance, Kling, Vidu, Hailuo dan WAN.

iQIYI memaklumkan teknologi berkenaan telah melalui fasa ujian dalaman sejak 2025 bagi projek filem, drama dan animasi.

Bagaimanapun, pelancaran Nadou Pro mencetuskan kontroversi apabila beberapa pelakon yang tersenarai dalam pangkalan data sistem itu mendakwa tidak pernah memberikan kebenaran untuk penggunaan imej mereka.

Menjawab kebimbangan berkenaan, iQIYI menegaskan bahawa walaupun wajah pelakon popular tersedia dalam sistem Nadou Pro, syarikat itu tetap akan mendapatkan kebenaran rasmi terlebih dahulu sebelum sebarang imej atau identiti pelakon digunakan dalam kandungan video yang dijana.

Must Watch Video