SEKUMPULAN penyelidik dari Vienna University of Technology (TU Wien) dengan kerjasama syarikat storan Cerabyte berjaya menghasilkan kod QR terkecil di dunia, berkeluasan hanya 1.98 mikrometer persegi, sekali gus menjadikannya lebih kecil daripada kebanyakan bakteria.
Pencapaian ini telah disahkan oleh Guinness World Records, lapor Amanz.
Advertisement
Kod QR ini diukir menggunakan teknologi pancaran ion terfokus pada filem seramik nipis, dengan setiap piksel bersaiz 49 nanometer, iaitu kira-kira satu per sepuluh panjang gelombang cahaya tampak.
Disebabkan saiznya yang terlalu kecil, kod ini tidak dapat dilihat atau dibaca menggunakan mikroskop optik, sebaliknya memerlukan mikroskop elektron untuk memaparkan butirannya.
Walaupun berskala nano, struktur kod QR tersebut kekal stabil dan boleh dibaca berulang kali tanpa mengalami masalah penyebaran atom atau degradasi – isu utama yang sering berlaku pada struktur bersaiz atomik.
Penyelidik menjangkakan teknologi ini membuka ruang kepada storan jangka panjang berasaskan bahan seramik, yang mampu mengekalkan data selama berabad-abad tanpa memerlukan kuasa, penyejukan atau penyelenggaraan berkala, sekali gus berpotensi menjadi alternatif kepada media storan moden yang berjangka hayat pendek.