Skip to main content

Malaysia

Zakry hasrat lahir satu lagi beregu wanita berkelas dunia

KUALA LUMPUR, 20 Feb -- Jurulatih baharu beregu wanita negara, Mohd Zakry Abdul Latif ketika ditemui media di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara hari ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Mohd Zakry ketika ditemui media di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, Kuala Lumpur, hari ini. -- fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Jurulatih baharu badminton negara Mohd Zakry Abdul Latif meletakkan sasaran untuk melahirkan beregu wanita bertaraf dunia dalam tempoh dua tahun lagi.

Mohd Zakry berkata beliau akan berusaha agar jurang prestasi antara beregu wanita negara dengan gandingan utama dunia Pearly Tan-M Thinaah dapat dirapatkan.

Advertisement

“Apa yang saya lihat, pemain-pemain beregu wanita kita yang ada ketika ini memang ada potensi. Malah ada beberapa gandingan sekarang sedang meningkat naik.

“Jadi saya yakin, dalam satu atau dua tahun ini insya-Allah, kita akan ada satu lagi Pearly-Thinaah,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan pertamanya bersama skuad kebangsaan hari ini.

Mohd Zakry antara tiga jurulatih yang dilantik oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bermula bulan ini dengan bekas pemain beregu negara itu diberi peranan sebagai jurulatih beregu wanita.

Dalam pada itu, beliau mengakui teruja kembali menyertai BAM selepas 15 tahun, meskipun kini menggalas tanggungjawab dan peranan yang berbeza.

Malah Zakry berkata beliau juga tidak kekok untuk menggalas tugas baharunya memandangkan rata-rata yang berada di barisan kejurulatihan negara merupakan rakan sepasukannya satu ketika dahulu.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video