GADGETS
Kodak nafi dakwaan bankrap, tegaskan perniagaan masih stabil

Kodak menafikan dakwaan akan menghentikan operasi dan menjelaskan laporan kewangan disalah tafsir. -Amanz
KODAK menegaskan bahawa laporan yang mendakwa syarikat akan menghentikan operasi adalah tidak benar dan mengelirukan.
Ringkasan AI
- Kodak menafikan dakwaan akan menghentikan operasi dan menjelaskan laporan kewangan disalah tafsir.
- Syarikat yakin dapat menyusun semula hutang dan akan menerima AS$500 juta aset selepas urus niaga selesai Disember 2025.
- Operasi harian Kodak kekal stabil dan semua komitmen termasuk dana pencen akan terus dipenuhi.
Kodak menegaskan bahawa mereka tidak mempunyai rancangan untuk menghentikan operasi, menutup perniagaan atau memfailkan perlindungan bankrap.
Sebaliknya, mereka yakin dapat membayar atau menstruktur semula hutang sebelum tarikh akhir yang ditetapkan.
Apabila urus niaga yang dirancang selesai pada awal tahun hadapan, Kodak akan berada dalam kedudukan kewangan yang lebih kukuh dan hampir bebas daripada hutang.
Pendedahan yang disebut dalam laporan kewangan sebelum ini adalah keperluan yang diwajibkan oleh peraturan perakaunan, dan tidak bermaksud Kodak menghadapi risiko penutupan.
Kodak juga memberi jaminan bahawa semua tanggungjawab terhadap dana pencen akan terus dipenuhi seperti biasa.
Kodak telah bersiap sedia untuk penamatan pelan pencen dan menjangkakan akan menerima kira-kira AS$500 juta dalam bentuk aset apabila urus niaga selesai pada Disember 2025.
Daripada jumlah itu, sekitar AS$300 juta akan diterima dalam bentuk tunai, manakala selebihnya sebanyak AS$200 juta merupakan aset pelaburan yang akan ditukar kepada tunai.
Selepas memenuhi semua kewajipan kepada dana pencen, Kodak akan menggunakan AS$300 juta tersebut untuk membayar sebahagian besar hutang jangka panjang seperti yang ditetapkan dalam dokumen pinjaman.
Baki hutang sebanyak AS$177 juta dan saham sebanyak AS$100 juta pula akan diselesaikan melalui pelan kewangan yang telah dirancang.
Dari segi operasi harian, Kodak menunjukkan prestasi yang stabil dan yakin dengan rancangan untuk memenuhi semua komitmen kewangan serta masa depan syarikat. -Amanz
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami