HSINCHU : MediaTek secara rasmi memperkenalkan cip mercu terbaharunya, Dimensity 9600 Pro, yang dibina menggunakan teknologi proses 2 nanometer (2nm) oleh TSMC, lapor Amanz.
Cip itu menampilkan reka bentuk CPU "2+3+3 All Big Core" yang menggabungkan dua teras utama Arm C2-Ultra bersama enam teras prestasi Arm C2-Pro.
Menurut MediaTek, konfigurasi baharu itu menawarkan peningkatan prestasi teras tunggal sebanyak 17 peratus dan prestasi berbilang teras sebanyak 15 peratus, di samping mengurangkan penggunaan kuasa berbilang teras sehingga 61 peratus berbanding generasi terdahulu.
Dari segi grafik, cip berkenaan dilengkapi GPU Arm Mali-G2 Ultra NX yang menawarkan peningkatan prestasi puncak sebanyak 27 peratus serta prestasi teknologi "ray tracing" yang 18 peratus lebih pantas bagi memberikan pengalaman permainan setanding konsol.
Dimensity 9600 Pro turut memfokuskan keupayaan ejen kecerdasan buatan (AI) menerusi unit pemprosesan neural (NPU) MediaTek 1090 yang mampu menggandakan prestasi pemprosesan format INT4 serta mempercepat proses pemprosesan input awal (pre-fill) sehingga 51 peratus.
Dalam aspek pengimejan, sistem pemprosesan isyarat imej (ISP) Imagiq yang diintegrasikan menyokong sensor kamera sehingga 200 megapiksel (MP) serta rakaman video 8K pada kadar 60 bingkai sesaat (fps).
Peranti pintar pertama yang dikuasakan cip Dimensity 9600 Pro dijangka memasuki pasaran global secara berperingkat pada suku keempat tahun ini.