WASHINGTON: Meta pada Isnin melancarkan unit perniagaan baharu yang akan menyediakan perkhidmatan kecerdasan buatan (AI) kepada perusahaan, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).
Ketua Pegawai Eksekutif Meta Mark Zuckerberg berkata syarikat itu percaya bahawa “superintelligence akan mewujudkan peluang baharu yang besar” kepada individu dan perniagaan.
“Meta sudah menyediakan perkhidmatan kepada berbilion-bilion pengguna pada skala besar dan membantu ratusan juta perniagaan mendekati pelanggan.
“Hari ini, kami memulakan tonggak utama baharu dalam perniagaan kami menerusi Meta Enterprise Platform bagi membantu syarikat menggunakan AI untuk berkembang dan melakukan transformasi dengan cara baharu,” kata beliau.
Gergasi media sosial itu berkata Meta Enterprise Platform akan diterajui Chirantan Desai, yang akan melapor secara langsung kepada Zuckerberg.
Menurut Meta, Desai mempunyai pengalaman luas dalam membangunkan penyelesaian perisian menyeluruh khususnya dalam bidang AI, infrastruktur, aplikasi perniagaan dan keselamatan.
Sebelum ini, Desai berkhidmat sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MongoDB, sebuah syarikat perisian pangkalan data.
Beliau juga pernah mengetuai bahagian produk dan kejuruteraan di Cloudflare, sebuah syarikat infrastruktur web dan keselamatan.
Desai turut berkhidmat hampir lapan tahun di ServiceNow, termasuk sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Operasi.
“Meta Enterprise Platform akan memberi tumpuan kepada usaha menjadikan teknologi AI Meta sebagai produk dan perkhidmatan yang boleh digunakan oleh syarikat dalam operasi perniagaan masing-masing.
“Matlamat kami adalah untuk menjadikan Meta sebagai platform pilihan perusahaan untuk mengembangkan perniagaan mereka,” kata Desai.
-- BERNAMA-dpa