MENLO PARK: Ketua Pegawai Eksekutif Meta, Mark Zuckerberg, meramalkan berbilion manusia di seluruh dunia akan memiliki ejen kecerdasan buatan (AI) peribadi masing-masing dalam tempoh lima tahun akan datang, lapor Amanz.
Zuckerberg berkata demikian ketika mengulas perkembangan pesat teknologi ejen AI yang kini mula ditawarkan oleh pelbagai syarikat teknologi bagi mengautomasikan pelbagai tugasan kompleks merentasi pelbagai aplikasi.
Melalui visi itu, beliau menjangkakan orang ramai akan memanfaatkan ejen AI untuk menguruskan pelbagai urusan harian termasuk kewangan, kesihatan, hubungan sosial dan pengurusan rumah.
Bagi merealisasikan visi tersebut, Meta menjangka WhatsApp akan menjadi antara muka utama yang membolehkan pengguna berinteraksi dengan ejen AI peribadi mereka.
Zuckerberg berkata WhatsApp kini merupakan pelantar utama pengguna berinteraksi dengan Meta AI.
Walaupun Meta AI berdepan persaingan sengit daripada pesaing seperti Gemini milik Google, ChatGPT keluaran OpenAI dan Claude oleh Anthropic, Meta mempunyai kelebihan daripada segi pangkalan pengguna sedia ada yang luas menerusi WhatsApp, Facebook, Instagram dan Messenger.
Penganalisis industri berpandangan pelaburan berterusan Meta dalam pembangunan model bahasa besar dan infrastruktur AI berpotensi meletakkan syarikat itu sebagai antara peneraju utama industri AI global pada masa hadapan.