NEW YORK: Microsoft memaklumkan kesemua perkhidmatannya kembali beroperasi seperti biasa selepas berdepan gangguan teknikal global selama lebih 24 jam yang menjejaskan pengguna di pelbagai negara sejak Khamis lalu.
Syarikat berpangkalan di Redmond, Washington itu berkata usaha pemulihan dan penyelesaian punca gangguan berkenaan telah selesai dilaksanakan, manakala pengguna Outlook, Teams, SharePoint serta pembantu kecerdasan buatan (AI) Copilot kini boleh mengakses perkhidmatan tersebut seperti biasa.
Gangguan itu memberi kesan kepada pelbagai sektor, termasuk operasi perniagaan dan perkhidmatan kerajaan, selain menjejaskan penggunaan rangkaian perkhidmatan Microsoft 365 di beberapa negara.
Microsoft turut memohon maaf kepada pelanggan dan rakan kongsinya atas kesulitan yang berlaku serta menjelaskan insiden tersebut berpunca daripada masalah teknikal ketika proses naik taraf kapasiti rangkaian, bukannya disebabkan serangan siber atau kegagalan sistem AI.
Gangguan yang bermula pada sistem Exchange Online itu turut menjejaskan beberapa institusi utama termasuk sistem teknologi maklumat kerajaan Jepun, platform kehakiman Mahkamah Agung Filipina, agensi keselamatan Australia serta operasi pemfailan elektronik mahkamah di Kanada.
Di United Kingdom, sebahagian operasi klinik Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS), sekolah, farmasi dan pasukan polis turut dilaporkan terjejas.
Di Amerika Syarikat pula, ahli dan kakitangan Dewan Perwakilan berdepan gangguan komunikasi e-mel yang menjejaskan urusan harian mereka.
Malah, pegawai dan penasihat delegasi yang menghadiri Sidang Kemuncak Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP31) di Antalya, Turkiye turut berdepan kesukaran mengakses sistem e-mel Outlook.
Microsoft berkata proses pemulihan terpaksa dilakukan secara berperingkat berikutan jumlah permintaan yang tinggi serta skala gangguan yang besar bagi memastikan kestabilan sistem dapat disahkan pada setiap peringkat.
Sementara itu, penganalisis pasaran dan pakar keselamatan siber menyifatkan insiden tersebut sebagai peringatan mengenai risiko kebergantungan tinggi organisasi global terhadap penyedia perkhidmatan awan berskala besar.
Microsoft turut memberi jaminan bahawa laporan pasca-insiden yang lengkap akan diterbitkan sebaik sahaja syarikat itu selesai menjalankan siasatan dan semakan teknikal menyeluruh berhubung punca gangguan tersebut.