WASHINGTON: Usahawan Amerika Syarikat (AS), Elon Musk, pada Jumaat berkata syarikatnya, Neuralink, memperkenalkan produk baharu dikenali sebagai Blindsight yang direka untuk membolehkan individu yang kehilangan penglihatan melihat semula, lapor Sputnik/RIA Novosti.
"Produk kedua kami dinamakan Blindsight dan seperti namanya, ia akan membolehkan mereka yang buta sepenuhnya atau tidak pernah mempunyai penglihatan, memperoleh keupayaan penglihatan. Dari sudut kejuruteraan, ia sudah siap. Kami hanya menunggu kelulusan pihak pengawal selia," kata Musk menerusi platform X.
Jutawan itu turut menyebut satu lagi produk syarikat berkenaan, Telepathy, yang diperkenalkan pada 2024.
"Ia membolehkan komunikasi berkelajuan tinggi dengan komputer atau manusia hanya melalui pemikiran. Dalam beberapa tahun lagi, kapasiti penghantaran maklumat akan jauh mengatasi kelajuan pertuturan atau menaip manusia yang paling pantas," jelas Musk.
Dalam ruangan komen hantaran itu, Musk turut menjawab pertanyaan seorang bapa yang ingin mengetahui sama ada produk Neuralink boleh membantu anak perempuannya yang masih kecil dan menghidap epilepsi.
Musk berkata peranti yang sedang dibangunkan itu berpotensi membantu mengawal beberapa jenis epilepsi, namun teknologi berkenaan masih belum cukup diperhalusi pada peringkat ini.
-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI