KUALA LUMPUR: Platform penstriman popular, Netflix, mengumumkan kenaikan harga langganan melibatkan semua kategori pelan serta caj tambahan bagi slot ahli untuk pasaran Malaysia, lapor Amanz.
Pelan paling asas, iaitu Mobile, meningkat RM1 kepada RM19.90 sebulan berbanding RM18.90 sebelum ini.
Bagi pelan Basic, harga langganan meningkat RM4 kepada RM33.90 berbanding RM29.90 sebelum ini.
Pelan Standard pula naik RM6 kepada RM55.90 sebulan berbanding RM49.90 sebelum ini.
Sementara itu, pelan Premium merekodkan kenaikan tertinggi sebanyak RM7, menjadikan harga bulanan meningkat daripada RM62.90 kepada RM69.90 sebulan.
Netflix berkata kenaikan harga itu dibuat bagi membolehkan syarikat terus meningkatkan mutu perkhidmatan serta menambah penawaran kandungan siri televisyen dan filem baharu setiap minggu.
Selain pelan utama, syarikat itu turut menyemak kadar slot ahli tambahan daripada RM13 kepada RM14.90 sebulan bagi setiap slot untuk pelanggan pelan Standard dan Premium.