Skip to main content
Advertisement

Teknologi

Norway, Finland cadang tubuh badan antarabangsa pantau pembangunan AI

Generic Ai data
Syarikat AI digesa membangunkan protokol keselamatan yang terbuka dan boleh disahkan, termasuk mewajibkan ujian sebelum sesuatu model digunakan, selain menjalankan audit serta penilaian bebas. - Gambar hiasan
Advertisement

ISTANBUL: Perdana Menteri Norway Jonas Gahr Store dan Presiden Finland Alexander Stubb melancarkan satu inisiatif yang mencadangkan penubuhan badan antarabangsa bagi memantau pembangunan kecerdasan buatan (AI), lapor Anadolu Ajansi memetik media Norway.

Store memberitahu penyiar VG bahawa inisiatif itu dilancarkan susulan kebimbangan yang disuarakan wakil syarikat AI terhadap pembangunan sistem AI yang semakin canggih dan berkeupayaan.

“Kecerdasan buatan mesti kekal di bawah panduan, penyeliaan dan kawalan manusia serta dibangunkan dan digunakan selaras dengan undang-undang antarabangsa,” menurut kenyataan bersama kedua-dua negara itu.

Inisiatif berkenaan menggesa syarikat AI membangunkan protokol keselamatan yang terbuka dan boleh disahkan, termasuk mewajibkan ujian sebelum sesuatu model digunakan, selain menjalankan audit serta penilaian bebas.

Ia turut menggesa kerajaan dan organisasi serantau membangunkan piawaian bersama, meningkatkan ketelusan serta mewujudkan mekanisme pelaporan bersama bagi insiden keselamatan serius.

Selain itu, inisiatif berkenaan mencadangkan negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berusaha menubuhkan sebuah institusi antarabangsa yang boleh menetapkan piawaian, memudahkan proses pengesahan serta menghimpunkan negara apabila sistem AI mencapai tahap keupayaan tertentu.

Store membandingkan institusi yang dicadangkan itu dengan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), sebuah organisasi antarabangsa yang memantau keselamatan nuklear dan usaha mencegah percambahan nuklear.

Inisiatif itu dikemukakan ketika kebimbangan terhadap perkembangan pesat sistem AI serta laporan mengenai ejen AI yang beroperasi di luar persekitaran ujian terkawal.

Ketua Pegawai Eksekutif Anthropic Dario Amodei secara berasingan memberi amaran bahawa pembangunan AI boleh membawa kesan serius jika tidak diperlahankan, manakala penyelidik AI di Norway mempunyai pandangan berbeza mengenai risiko tertentu serta kadar perkembangannya.

Pejabat Perdana Menteri menegaskan bahawa sektor perniagaan, kerajaan dan masyarakat perlu menangani risiko berkaitan AI, pada masa sama memastikan jurang antara negara dalam menikmati manfaat teknologi itu tidak semakin melebar.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video

Advertisement