Skip to main content

Teknologi

OpenAI buka akses GPT-5.6 Luna kepada pengguna percuma ChatGPT

Sumber: AMANZ
Pengenalan model baharu itu membolehkan pengguna kategori berkenaan menikmati akses kepada perbualan teks tanpa had menerusi platform tersebut. -Foto Amanz
Advertisement

SAN FRANCISCO: OpenAI mengumumkan kemas kini kepada ChatGPT dengan memperluaskan akses model terbaharunya, GPT-5.6 Luna, kepada pengguna percuma, lapor Amanz.

Pengenalan model baharu itu membolehkan pengguna kategori berkenaan menikmati akses kepada perbualan teks tanpa had menerusi platform tersebut.

Bagaimanapun, had bagi fungsi memuat naik imej, dokumen, suara dan penjanaan imej masih dikekalkan untuk akaun percuma.

Pada masa sama, akses kepada butang "Think" yang menawarkan keupayaan penaakulan lebih mendalam dijangka diperluaskan kepada pengguna bermula minggu depan.

Langkah kemas kini berskala besar itu dilaksanakan selari dengan data terbaharu OpenAI yang menunjukkan ChatGPT kini digunakan oleh lebih satu bilion pengguna setiap minggu.

Komuniti pengguna global menggunakan platform tersebut untuk pelbagai tujuan termasuk mencari maklumat, membuat pertanyaan, merancang tugasan, menjalankan penyelidikan serta mendapatkan pandangan dan nasihat.

Pada masa sama, pengguna Plus dan Pro menerima akses kepada GPT-5.6 Sol yang dipertingkatkan bagi tugasan seperti pengaturcaraan, penyelidikan, penulisan, perancangan dan pembuatan keputusan.

Menurut OpenAI, GPT-5.6 Sol mampu memberikan jawapan yang lebih fokus dan lebih boleh dipercayai dari segi fakta.

Ujian dalaman syarikat menunjukkan kesilapan fakta berkurangan sebanyak 68 peratus berbanding GPT-5.5 Instant, manakala GPT-5.6 Luna mencatat pengurangan sebanyak 62 peratus.

Pengguna ChatGPT boleh mula mengakses dan menguji keupayaan siri GPT-5.6 menerusi pelayar web serta aplikasi mudah alih masing-masing bermula minggu ini.

 

 

Must Watch Video

Advertisement