SAN FRANCISCO: Syarikat teknologi OpenAI secara rasmi melancarkan model kecerdasan buatan (AI) terbaharu, GPT-Live-1 dan GPT-Live-1 mini.
Model ini dilengkapi keupayaan dwihala (full-duplex) yang membolehkannya bercakap dan mendengar secara serentak seperti perbualan manusia biasa.
Inovasi ini membawakan penambahbaikan ketara berbanding model suara terdahulu, lapor Amanz.
Interaksi dengan AI kini menjadi lebih semula jadi dan realistik menerusi keupayaan menghela nafas, ketawa, serta mengubah intonasi suara mengikut konteks perbualan.
Model itu turut mampu menentukan masa yang sesuai untuk bertutur atau berdiam diri.
AI ini juga mampu memberikan maklum balas ringkas seperti "hmmm" dan "ya" sebagai tanda ia sedang memberikan perhatian kepada pengguna.
Bagi mengendalikan tugasan yang lebih kompleks, GPT-Live menggunakan GPT-5.5 di latar belakang untuk penaakulan yang lebih mendalam.
Keupayaan ini merangkumi carian web secara masa nyata serta terjemahan langsung yang lebih lancar.
Dari sudut keselamatan, OpenAI menyepadukan sistem perlindungan yang menilai input dan respons sepanjang perbualan.
Jika pengguna membincangkan topik berisiko seperti mencederakan diri atau keganasan, sistem boleh menyalurkan maklumat bantuan, memainkan mesej keselamatan atau menamatkan sesi perbualan.
Fungsi GPT-Live kini dilancarkan secara berperingkat kepada pengguna ChatGPT di seluruh dunia menerusi aplikasi Android, iOS serta laman web ChatGPT.com.
GPT-Live-1 menjadi model lalai bagi fungsi ChatGPT Voice untuk pelanggan pelan Go, Plus dan Pro, manakala GPT-Live-1 mini disediakan kepada pengguna versi percuma.