KUALA LUMPUR: Platform teknologi kewangan global, Wise, mengumumkan integrasi terus dengan infrastruktur pembayaran nasional Malaysia menerusi kerjasama bersama Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet), lapor Amanz.
Langkah itu membolehkan pengguna Wise yang berkunjung atau menetap di Malaysia membuat pembayaran tanpa tunai secara terus dengan mengimbas kod DuitNow QR menggunakan aplikasi Wise.
Wise berkata fungsi imbas dan bayar melalui DuitNow QR sedang diperkenalkan secara berperingkat dan akan diperluaskan untuk menyokong semua kod DuitNow QR di seluruh negara dalam tempoh beberapa minggu akan datang.
Selain pembayaran runcit, Wise turut memperkenalkan kemudahan pemindahan dana domestik Ringgit Malaysia (MYR) menerusi DuitNow Transfer.
Melalui fungsi itu, pengguna tidak lagi perlu memasukkan butiran akaun bank yang panjang kerana transaksi boleh dilakukan menggunakan nombor telefon, nombor kad pengenalan, ID tentera atau nombor pendaftaran perniagaan penerima.
Bagi mengelakkan kesilapan penghantaran wang, aplikasi Wise akan memaparkan nama berdaftar penerima secara automatik sebelum transaksi disahkan.
Wise berkata Malaysia kini menjadi pasaran kesembilan di dunia dan kelima di rantau Asia Pasifik yang mempunyai akses terus kepada sistem pembayaran domestik melalui platform syarikat itu.