SAN FRANCISCO: Platform media sosial X kini mewajibkan pengguna melanggan pelan X Premium+ pada harga RM146.33 sebulan bagi membolehkan mereka mengakses aplikasi pengurusan kandungan, X Pro.
Perubahan terma penggunaan perkhidmatan yang dahulunya dikenali sebagai TweetDeck itu dilaporkan berlaku secara mengejut pagi ini tanpa sebarang pengumuman rasmi daripada pihak pengurusan X kepada pelanggan sedia ada, lapor Amanz.
Advertisement
Sebelum ini, X Pro boleh diakses oleh pelanggan pelan X Premium biasa dengan kadar langganan RM35 sebulan, namun akses tersebut kini disekat bagi pengguna yang tidak menaik taraf langganan mereka.
Rata-rata pengguna tegar X Pro di platform berkenaan menyuarakan kekecewaan mereka berikutan ketiadaan notifikasi awal mengenai pelarasan harga tersebut.
Penganalisis industri menyifatkan langkah itu sebagai strategi terbaharu syarikat milik Elon Musk untuk meningkatkan pendapatan dengan memaksa pengguna melanggan pelan yang lebih mahal bagi ciri yang dahulunya dianggap standard.
Sebelum pengambilalihan oleh Musk, TweetDeck ditawarkan secara percuma kepada semua pengguna sebelum langganan berbayar mula diwajibkan pada Ogos 2023.
Dalam perkembangan berkaitan, pesaing utamanya iaitu Threads, telah menawarkan antara muka yang menyerupai fungsi TweetDeck secara percuma kepada semua pengguna sejak tahun lepas tanpa sebarang kos tambahan.
Langkah X ini dilihat berisiko menyebabkan penghijrahan lebih ramai pengguna profesional dan organisasi media ke platform alternatif yang menawarkan kemudahan serupa secara percuma.