Ringkasan AI
- Teknologi pengklonan suara AI membolehkan penjenayah meniru suara individu untuk mencipta situasi kecemasan palsu dan memperdaya mangsa.
- Sampel suara boleh diperoleh daripada media sosial atau rakaman suara terbuka, membolehkan penjenayah meniru nada, sebutan dan intonasi individu.
- Orang ramai dinasihatkan tidak bergantung pada suara semata-mata untuk pengesahan, sebaliknya menghubungi semula individu menggunakan nombor telefon yang biasa digunakan.
KUALA LUMPUR: Teknologi pengklonan suara menggunakan kecerdasan buatan (AI) membolehkan penjenayah meniru suara individu yang dikenali mangsa sebelum menggunakannya untuk mencipta situasi kecemasan palsu dan memperdaya mereka.
Profesor Rangkaian Komputer dan Keselamatan Siber, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Zuriati Ahmad Zukarnain berkata, sampel suara boleh diperoleh daripada pelbagai platform media sosial dan rakaman suara yang tersedia secara terbuka.
Menurut beliau, teknologi berkenaan mampu meniru nada, sebutan dan intonasi seseorang, malah menghasilkan suara sintetik yang boleh menyebut perkataan baharu menggunakan suara individu yang ditiru.
“Sampel suara boleh diperoleh daripada TikTok, Facebook, Instagram, YouTube, mesej atau rakaman suara yang dibuat secara terbuka. Mereka mungkin hanya memerlukan sampel suara yang pendek, bergantung pada teknik yang digunakan,” katanya kepada Astro AWANI.
Beliau berkata, suara tiruan itu juga boleh digunakan untuk menyamar sebagai anak, pasangan atau ahli keluarga lain bagi menjadikan panggilan penipuan lebih meyakinkan.
Bagaimanapun, ancaman berkenaan bukan sekadar bergantung pada keupayaan teknologi meniru suara, tetapi turut melibatkan manipulasi emosi mangsa, khususnya apabila mereka percaya individu tersayang sedang berdepan kecemasan.
Menurut Prof Zuriati lagi, mangsa cenderung mempercayai panggilan sedemikian apabila suara yang didengar sudah biasa bagi mereka, sekali gus mencetuskan naluri untuk membantu tanpa membuat pengesahan terlebih dahulu.
“Mangsa mudah percaya bukan kerana mereka bijak atau tidak, tetapi kerana penjenayah tahu cara mengeksploitasi emosi mereka. Apabila mendengar suara ahli keluarga atau rakan rapat, naluri mereka adalah untuk membantu, bukannya menyiasat,” tambahnya.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak bergantung pada suara semata-mata untuk mengesahkan identiti pemanggil, sebaliknya menamatkan panggilan dan menghubungi semula individu berkenaan menggunakan nombor telefon yang biasa digunakan.
Langkah pengesahan itu penting sebelum seseorang membuat sebarang keputusan, terutama jika diminta memindahkan wang atau memberikan bantuan kewangan atas alasan kecemasan.