Skip to main content
Advertisement

Teknologi

Pepijat Windows 11 dikesan 'makan' storan SSD pengguna hingga 70GB

71768880856_Windows.jpg
Kecacatan tersebut menyebabkan fail log SQLite yang dikenali sebagai CapabilityAccessManager.db-wal membesar kepada saiz yang luar biasa. -Gambar fail
Advertisement

REDMOND: Microsoft mengesahkan kewujudan pepijat pada sistem operasi Windows 11 yang menyebabkan ruang storan pemacu keadaan pepejal (SSD) pengguna berkurangan secara mendadak, dengan sebahagian kes dilaporkan menggunakan lebih 70 gigabait (GB) ruang simpanan.

Ralat itu dikenal pasti berpunca daripada kecacatan pada fungsi Capability Access Manager (camsvc), iaitu perkhidmatan sistem yang mengurus kebenaran aplikasi terhadap perkakasan seperti kamera, mikrofon dan perkhidmatan lokasi.

Kecacatan tersebut menyebabkan fail log SQLite yang dikenali sebagai CapabilityAccessManager.db-wal membesar kepada saiz yang luar biasa.

Dalam keadaan biasa, fail log berkenaan hanya menggunakan beberapa megabait ruang storan.

Bagaimanapun, sebahagian pengguna melaporkan fail itu meningkat kepada antara 70GB hingga 80GB, malah dalam beberapa kes mencecah 500GB tanpa sebarang penambahan fail baharu.

Isu itu mula mendapat perhatian selepas seorang pengguna di forum Microsoft Q&A melaporkan fail log berkenaan menggunakan lebih 66GB ruang storan.

Laporan tersebut mendorong pengguna lain menjalankan imbasan menggunakan perisian analisis cakera seperti WinDirStat sebelum mendapati peranti mereka berdepan masalah yang sama.

Selain itu, ralat berkenaan turut menyebabkan tetapan storan Windows (Windows Storage Settings) memaparkan maklumat kapasiti yang tidak tepat dalam kategori aplikasi dan sistem.

Susulan peningkatan aduan pengguna, Microsoft telah melancarkan pembaikan menerusi kemas kini Windows 11 KB5095093.

Sehubungan itu, syarikat berkenaan menggesa pengguna Windows 11 memuat turun kemas kini tersebut secepat mungkin bagi mengelakkan fail log berkenaan terus membesar dan menggunakan ruang storan peranti.

 

Must Watch Video

Advertisement