STUTTGART: Gergasi automotif Jerman, Porsche AG, mengumumkan penutupan tiga anak syarikat utamanya sebagai sebahagian daripada langkah penstrukturan semula drastik bagi mengembalikan tumpuan syarikat kepada perniagaan teras.
Keputusan itu melibatkan penutupan unit pakar bateri Cellforce Group GmbH, pembuat sistem basikal elektrik Porsche eBike Performance GmbH, dan firma pembangunan perisian Cetitec GmbH, lapor Amanz.
Ketua Pegawai Eksekutif Porsche, Michael Leiters, berkata langkah tersebut adalah pengurangan yang menyakitkan namun amat diperlukan bagi menjamin kestabilan strategik syarikat pada masa hadapan.
"Porsche perlu memberi tumpuan semula kepada perniagaan terasnya. Ini adalah asas yang amat diperlukan untuk penyusunan semula strategik yang berjaya," kata beliau dalam satu kenyataan yang dilaporkan agensi berita dpa.
Penutupan ini dijangka mengakibatkan lebih 500 kakitangan kehilangan pekerjaan, merangkumi operasi di Jerman dan Croatia.
Langkah ini menyusul selepas pengeluar kereta sport itu melaporkan kemerosotan keuntungan pada suku pertama 2026, didorong oleh tekanan tarif, ketidaktentuan geopolitik, serta persaingan sengit daripada pengeluar kenderaan elektrik (EV) dari China yang menawarkan prestasi tinggi pada harga lebih kompetitif.
Di China, yang dahulunya merupakan pasaran terbesar Porsche, jumlah penghantaran dilaporkan merosot sebanyak 21 peratus kepada hanya 7,519 unit pada suku pertama tahun ini.
Selain penutupan subsidiari, Porsche turut melepaskan pegangan sahamnya dalam syarikat Bugatti Rimac dan Rimac Group pada bulan lalu sebagai usaha mengurangkan kos operasi.