KUALA LUMPUR: Peminat produk Apple boleh bersiap sedia untuk membuat pratempahan telefon pintar terbaharu, iPhone 14 dan iPhone 14 Pro yang bermula minggu depan.

Pratempahan untuk telefon pintar itu dibuka pada 16 September sebelum kedua-dua produk itu mula dijual pada 23 September, sementara iPhone 14 Plus pula dijual mulai 7 Oktober depan.

Menurut laman web Apple, iPhone 14 akan ditawarkan pada harga bermula RM4,199 di Malaysia manakala iPhone 14 Pro pula pada harga bermula RM5,299.

BACA: iPhone 14 dilancarkan di Cupertino

Telefon pintar itu antara produk terbaharu yang dilancarkan menerusi majlis pelancaran ‘Far Out’ di California pada Rabu.

Turut dilancarkan ialah barisan jam tangan pintar termasuk Apple Watch SE 2, Apple Watch Series 8 dan Apple Watch Ultra.

Antara produk lain yang turut ditunggu-tunggu peminat ialah Airpods Pro 2 yang dilengkapi dengan pelbagai ciri penambahbaikan termasuk hayat bateri lebih lama dan pembesar suara tertutup.