Skip to main content

Teknologi

RUU Jenayah Siber, tutup kelompongan undang-undang lapuk & perkasa kedaulatan digital negara

Sumber: Astro AWANI
Megat Zuhairy berkata, akta sedia ada dilihat tidak lagi relevan dengan perkembangan teknologi semasa kerana banyak bentuk jenayah siber moden, termasuk penggunaan perisian hasad (malware), tidak diperuntukkan secara khusus dalam undang-undang tersebut.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Jenayah Siber yang diluluskan di Dewan Rakyat pada 1 Julai lalu digubal bagi menggantikan Akta Jenayah Komputer yang sudah hampir 30 tahun tidak dipinda, sekali gus menutup pelbagai kelompongan undang-undang dalam menangani ancaman jenayah siber yang semakin kompleks.

Ketua Eksekutif Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Jabatan Perdana Menteri, Ir Megat Zuhairy Megat Tajuddin berkata, akta sedia ada dilihat tidak lagi relevan dengan perkembangan teknologi semasa kerana banyak bentuk jenayah siber moden, termasuk penggunaan perisian hasad (malware), tidak diperuntukkan secara khusus dalam undang-undang tersebut.

Menurut beliau, keadaan itu menyebabkan pihak berkuasa berdepan kesukaran untuk mengambil tindakan terhadap individu yang memiliki atau menjual perisian hasad kerana tiada peruntukan undang-undang yang jelas bagi membolehkan mereka didakwa.

"RUU baharu itu diwujudkan bagi menangani pelbagai bentuk jenayah siber yang semakin membimbangkan, termasuk penipuan dalam talian yang mengakibatkan kerugian dianggarkan mencecah RM3 bilion berdasarkan data terkini.

"Bagaimanapun, jenayah siber bukan hanya melibatkan scam semata-mata. Ia turut merangkumi penyebaran imej intim tanpa kebenaran, penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) seperti deepfake, kecurian identiti menggunakan identiti digital serta pelbagai bentuk ancaman digital lain," katanya kepada Astro AWANI, baru-baru ini.

Beliau berkata, antara keunikan RUU itu ialah pendekatan "technology neutral" atau neutral teknologi, iaitu peruntukan undang-undangnya tidak terikat kepada teknologi tertentu supaya kekal relevan bagi tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang walaupun berlaku perubahan pesat dalam landskap teknologi.

Mengulas mengenai hukuman, Megat Zuhairy berkata, RUU Jenayah Siber memperuntukkan hukuman yang jauh lebih berat berbanding Akta Jenayah Komputer, termasuk denda sehingga RM2 juta serta hukuman penjara antara tujuh hingga 10 tahun bergantung kepada jenis kesalahan.

"Hukuman lebih tegas itu bertujuan meningkatkan kesan pencegahan supaya penjenayah siber berfikir dua kali sebelum melakukan jenayah yang selama ini disifatkan tidak menerima hukuman setimpal.

"Walaupun istilah "deepfake" tidak dinyatakan secara khusus dalam RUU itu, peruntukan yang diperkenalkan merangkumi penggunaan imej, data atau suara yang dimanipulasi bagi tujuan melakukan jenayah, sekali gus membolehkan penyalahgunaan teknologi AI diambil tindakan mengikut undang-undang.

"Penggubalan RUU itu turut mengambil kira insiden penyalahgunaan teknologi AI di platform media sosial yang menghasilkan imej individu secara tidak senonoh melalui manipulasi wajah, selain memasukkan peruntukan berkaitan penyebaran imej intim tanpa kebenaran," ujarnya.

Bagi memperkukuh kefahaman orang ramai terhadap jenayah siber, beliau berkata, NACSA akan menganjurkan National Cyber Security Summit (NCSS) 2026 selama tiga hari bermula 7 hingga 9 Julai ini dengan tema "Strengthening Sovereign Resilience", yang memberi penekanan kepada usaha memperkukuh kedaulatan digital negara. 

"Sidang kemuncak itu dijangka menghimpunkan kira-kira 3,000 peserta dari dalam dan luar negara serta sebanyak 41 sesi akan berlangsung sepanjang program, meliputi forum strategi keselamatan siber, jenayah siber, perlindungan data peribadi, teknologi kriptografi, kecerdasan buatan (AI), pembangunan bakat serta pembentangan teknikal.

 

 

Must Watch Video

Advertisement