Skip to main content

Dunia

Delegasi Pakistan ke upacara pengebumian Khamenei terima pujian daripada Iran

Iranian Parliament Speaker Mohammad Baqer Qalibaf embraces Pakistani Prime Minister Shehbaz Sharif as they attend a farewell ceremony for Iran's late Supreme Leader Ayatollah Ali Khamenei, who was killed on February 28 during Israeli and U.S. airstrikes on Iran, for international delegates at the Imam Khomeini Grand Mosalla in Tehran, Iran July 3, 2026. Majid Asgaripour/WANA (West Asia News Agency) via REUTERS ATTENTION EDITORS - THIS PICTURE WAS PROVIDED BY A THIRD PARTY. ISRAEL OUT. NO COMMERCIAL OR EDITO
Speaker Parlimen Iran, Mohammad Baqer Qalibaf (kiri), memeluk Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif, ketika menghadiri upacara penghormatan terakhir bagi Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei. - Foto REUTERS
Advertisement

HYDERABAD: Delegasi kanan Pakistan yang menghadiri upacara pengebumian bekas Pemimpin Agung Iran Ayatollah Ali Khamenei menerima pujian daripada Iran, dengan Duta Besar Iran ke Islamabad mendoakan "persahabatan dan persaudaraan yang berkekalan" antara kedua-dua negara.

Orang kenamaan dan pegawai dari kira-kira 100 negara, termasuk Malaysia, Bangladesh, Arab Saudi, Turkiye, Qatar, Oman, Mesir, Rusia, Iraq, China dan India, berada di Tehran pada Jumaat bagi memberikan penghormatan terakhir kepada Khamenei, yang terkorban bersama beberapa ahli keluarganya dalam serangan Amerika Syarikat (AS)-Israel ke atas kediamannya di ibu negara Iran itu pada 28 Februari lepas.

"Saya amat berbesar hati untuk mengumumkan bahawa Pakistan menyertai upacara pengebumian ini pada peringkat tertinggi yang mungkin," kata Duta Besar Reza Amiri Moghadam menerusi hantaran di platform media sosial X.

Beliau berkata delegasi Pakistan juga merupakan yang terbesar dari mana-mana negara pada upacara itu, yang menyaksikan keranda Khamenei dan ahli keluarganya yang dilitupi bendera diletakkan di atas pentas.

Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif mengetuai delegasi itu yang turut disertai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Ishaq Dar, Panglima Tentera Darat Fil Marsyal Syed Asim Munir, Pengerusi Parti Rakyat Pakistan (PPP) Bilawal Bhutto Zardari, Speaker Perhimpunan Kebangsaan Sardar Ayaz Sadiq, Menteri Dalam Negeri Mohsin Naqvi dan Menteri Penerangan Attaullah Tarar.

"Kehadiran delegasi yang begitu terkemuka, berprofil tinggi dan besar ini menjadi bukti kepada persahabatan yang berkekalan, saling menghormati dan ikatan persaudaraan antara dua negara bersaudara," kata Moghadam.

"Isyarat yang penuh bermakna dan bersejarah ini mencerminkan hubungan bersejarah yang mendalam serta nilai bersama yang telah menyatukan Iran dan Pakistan ketika mengharungi pelbagai cabaran dan detik kejayaan," katanya.

Shehbaz turut memberikan penghormatan kepada Khamenei dengan menyatakan bahawa "kebijaksanaan, kepimpinan dan pengaruh besar beliau terhadap Iran serta rantau itu akan dikenang oleh generasi akan datang."

Khamenei merupakan Pemimpin Agung Iran dari 1989 sehingga pembunuhannya pada usia 86 tahun.

Iran memulakan upacara pengebumian awam pada Sabtu, manakala pengebumian beliau dijadual berlangsung pada 9 Julai di Mashhad, bandar kelahiran Khamenei.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement