Skip to main content

Teknologi

Sony lancar sensor Lytia L910, tawar HDR satu tangkapan

Lytia L910 Dilancarkan – Sensor LOFIC Pertama Sony
Keupayaan utama sensor ini ialah merakam imej julat dinamik tinggi (HDR) hanya dengan satu tangkapan, berbanding kaedah konvensional yang memerlukan gabungan beberapa imej. -Foto Amanz

TOKYO: Sony melancarkan sensor kamera telefon pintar terbaharu, Lytia L910, yang menjadi model pertama dalam siri LYTIA menggunakan teknologi LOFIC, lapor Amanz.

LOFIC atau Lateral Overflow Integration Capacitor berfungsi mengurangkan kesan terlebih dedah (overexposure) dalam keadaan pencahayaan terang, selain mengurangkan hingar (noise) sehingga 30 peratus dalam persekitaran cahaya rendah.

Keupayaan utama sensor ini ialah merakam imej julat dinamik tinggi (HDR) hanya dengan satu tangkapan, berbanding kaedah konvensional yang memerlukan gabungan beberapa imej.

Inovasi tersebut membolehkan imej dihasilkan dengan lebih tajam, seimbang dan jelas dalam pelbagai keadaan pencahayaan.

Sony memaklumkan tahap HDR sehingga 100 desibel (dB) boleh dicapai menerusi sokongan teknologi Triple Conversion Gain (TCG-HDR).

Dari segi spesifikasi, Lytia L910 hadir dengan sensor bersaiz 1/1.28 inci serta resolusi 50 megapiksel.

Bagi rakaman video, sensor itu menyokong format HDR pada resolusi 4K dengan kadar 60 bingkai sesaat.

Sony mengesahkan komponen tersebut akan mula dibekalkan kepada pengeluar peranti pintar selepas musim panas tahun ini.

Dalam perkembangan berkaitan, laporan industri menjangkakan sensor berkenaan bakal digunakan pada peranti mercu akan datang seperti siri Vivo X500 dan Oppo Find X10.

 

Must Watch Video

Advertisement