Skip to main content

Teknologi

Sony, LEGO lancar set replika PlayStation klasik sempena ulang tahun ke-30

Konsol Sony PlayStation Kini Ditawarkan Dalam Versi Lego -- AMANZ
Set pengumpul berkenaan dibina pada skala hampir 1:1 dengan konsol PlayStation asal yang diperkenalkan pada 1994 dan menggunakan sebanyak 1,911 kepingan LEGO. -Foto Amanz
Advertisement

TOKYO: Sony dan LEGO melancarkan set replika konsol PlayStation klasik sempena ulang tahun ke-30 jenama permainan video itu, lapor Amanz.

Set pengumpul berkenaan dibina pada skala hampir 1:1 dengan konsol PlayStation asal yang diperkenalkan pada 1994 dan menggunakan sebanyak 1,911 kepingan LEGO.

Selain replika konsol, set premium untuk peminat dewasa berusia 18 tahun ke atas itu turut disertakan dengan replika alat kawalan PlayStation asal.

Alat kawalan berkenaan boleh disambungkan kepada port konsol, manakala model itu turut menampilkan butang kuasa (Power) dan butang buka cakera (Open) yang berfungsi secara mekanikal.

Apabila bahagian penutup cakera dibuka, pengguna akan menemui dua diorama boleh bina yang diinspirasikan daripada permainan video ikonik Ape Escape dan Gran Turismo.

Kedua-dua diorama itu boleh dikeluarkan untuk dipamerkan secara berasingan atau disimpan semula di dalam ruang konsol.

Menurut jadual pelancaran, set LEGO PlayStation itu akan ditawarkan kepada ahli LEGO Insiders menerusi akses awal bermula 1 Okt 2026 sebelum jualan umum dibuka pada 4 Okt.

Ia juga akan dijual menerusi LEGO Stores, LEGO.com dan peruncit terpilih.

Set edisi khas itu ditawarkan pada harga runcit cadangan AS$179.99 (kira-kira RM795) seunit.

Must Watch Video

Advertisement