Skip to main content

Teknologi

Telegram kembali ke Apple Watch dengan versi baharu

Telegram Kembali Dengan Aplikasi Rasmi Untuk Apple Watch_Amanz
Versi terbaharu itu menyokong pelbagai fungsi termasuk penghantaran mesej teks, nota suara, imej GIF, video, perkongsian lokasi serta pelekat. -Foto Amanz
Advertisement

PLATFORM pemesejan Telegram melancarkan semula aplikasi natif rasminya untuk peranti Apple Watch, sekali gus menawarkan pengalaman komunikasi yang dibangunkan khusus untuk sistem operasi watchOS, lapor Amanz.

Ketua Pegawai Eksekutif Telegram Pavel Durov, menerusi hantaran di platform X, mengesahkan aplikasi baharu ini membolehkan pengguna mengakses senarai perbualan dan kenalan secara terus daripada jam tangan pintar tanpa bergantung sepenuhnya pada iPhone.

 

 

Versi terbaharu itu menyokong pelbagai fungsi termasuk penghantaran mesej teks, nota suara, imej GIF, video, perkongsian lokasi serta pelekat.

Bagi aspek keselamatan, proses log masuk memerlukan pengguna mengimbas kod QR melalui aplikasi Telegram di iPhone, diikuti kemasukan kata laluan awan sekiranya ciri keselamatan tambahan diaktifkan.

Pelancaran ini menandakan kembalinya Telegram ke ekosistem peranti boleh pakai Apple selepas aplikasi asal yang diperkenalkan pada 2015 dihentikan beberapa tahun lalu.

Aplikasi baharu itu kini boleh dimuat turun oleh pengguna Apple Watch di seluruh dunia untuk memudahkan komunikasi terus dari pergelangan tangan.

 

Must Watch Video

Advertisement