Skip to main content

Teknologi

Telegram mohon domain .gram, sasar lebih satu bilion pengguna

71720166575_telegramjpg.jpg
Sekiranya permohonan tersebut diluluskan, Telegram menyasarkan lebih satu bilion pengguna aktifnya akan dapat memiliki nama domain peringkat kedua (second-level domain) dalam format "namapengguna.gram". -Foto Amanz
Advertisement

SAN FRANCISCO: Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Telegram, Pavel Durov, mendedahkan bahawa platform pemesejan itu telah mengemukakan permohonan rasmi kepada Perbadanan Internet untuk Nama dan Nombor Diperuntukkan (ICANN) bagi mengendalikan zon nama domain peringkat tinggi generik (gTLD) baharu dengan akhiran .gram.

Langkah itu diambil bagi membolehkan Telegram membina ekosistem identiti digital sendiri untuk penggunanya.

Sekiranya permohonan tersebut diluluskan, Telegram menyasarkan lebih satu bilion pengguna aktifnya akan dapat memiliki nama domain peringkat kedua (second-level domain) dalam format "namapengguna.gram".

Menurut Durov, pembangunan infrastruktur web baharu itu bukan sahaja berfungsi sebagai identiti digital unik pengguna di luar aplikasi, malah membolehkan mereka membina laman web interaktif peribadi berasaskan teknologi kecerdasan buatan (AI) menerusi satu arahan ringkas.

Laman web dan profil digital berkenaan juga dijangka dihoskan secara langsung melalui rangkaian pelayan awan Telegram tanpa memerlukan perkhidmatan penyedia hos pihak ketiga.

Bagaimanapun, ICANN belum mengumumkan tempoh rasmi bagi proses penilaian dan kelulusan permohonan .gram itu memandangkan tetingkap permohonan bagi program gTLD 2026 baru sahaja ditutup.

Telegram dilaporkan perlu mendapatkan kelulusan ICANN sebelum projek berkenaan dapat diintegrasikan sepenuhnya dengan penyedia perkhidmatan pendaftaran yang dilantik, Unstoppable Domains, bagi memulakan pembangunan produk seterusnya.

Must Watch Video

Advertisement