Skip to main content

Teknologi

Waze lancar Mod Motosikal dikuasakan Gemini, Malaysia antara pasaran terawal

Seperti Google Maps, Waze kini turut memberi tumpuan penuh kepada Gemini. Kemas kini ini memperkenalkan pelbagai ciri baharu yang memberi pemandu lebih banyak pilihan cara menggunakan Waze ketika berada di jalan raya._AMANZ
Kemas kini terbaharu itu memberikan pengalaman navigasi yang lebih sesuai untuk penunggang motosikal dengan mengambil kira laluan pintas dan sekatan khusus bagi kenderaan dua roda ketika menentukan laluan perjalanan. -Foto Amanz
Advertisement

APLIKASI navigasi popular Waze meluncurkan ciri berkuasa kecerdasan buatan (AI) Gemini termasuk pengenalan 'Mod Motosikal' baharu dengan Malaysia terpilih sebagai antara pasaran terawal menerimanya, lapor Amanz.

Kemas kini terbaharu itu memberikan pengalaman navigasi yang lebih sesuai untuk penunggang motosikal dengan mengambil kira laluan pintas dan sekatan khusus bagi kenderaan dua roda ketika menentukan laluan perjalanan.

Sistem itu turut menawarkan anggaran masa ketibaan yang lebih tepat serta memaparkan amaran bahaya yang lazim dihadapi penunggang motosikal seperti jalan berlubang, bonggol, lintasan tinggi dan jambatan sempit.

Selain Mod Motosikal, Waze memperluaskan penggunaan ciri Conversational Reporting yang membolehkan pengguna melaporkan kesesakan trafik, penutupan jalan dan insiden lain hanya dengan bercakap secara semula jadi kepada aplikasi.

Laporan berasaskan suara itu akan dihantar terus kepada editor peta tempatan untuk disahkan sebelum dipaparkan kepada pengguna jalan raya yang lain.

Waze juga memanfaatkan Gemini menerusi ciri carian suara yang membolehkan pengguna membuat pertanyaan seperti "kedai kopi yang masih dibuka" atau "stesen minyak dengan harga terendah" sebelum memulakan navigasi ke lokasi berkenaan.

Buat masa ini, ciri carian pintar berkenaan hanya ditawarkan kepada kumpulan pengguna beta dan tarikh pelancarannya masih belum diumumkan.

Melalui kemas kini terbaharu ini, Waze juga akan mula mencadangkan laluan berdasarkan tabiat perjalanan pemandu serta pemahaman algoritma terhadap corak trafik sesebuah bandar.

Akhir sekali, aplikasi berkenaan turut memperkenalkan Less Chatty Mod yang menawarkan panduan suara lebih ringkas dan terhad kepada amaran penting sahaja bagi membolehkan pemandu menikmati muzik atau audio siar (podcast) tanpa terlalu banyak gangguan.

 

Must Watch Video

Advertisement