TIGA platform media sosial milik Meta — WhatsApp, Facebook dan Instagram — kini tidak lagi boleh diakses di Rusia selepas pihak berkuasa memadamkan rekod domain perkhidmatan tersebut daripada sistem Nama Domain Nasional yang dikendalikan Roskomnadzor.
Langkah itu menyebabkan pengguna hanya boleh mengakses platform berkenaan melalui rangkaian peribadi maya (VPN).
Advertisement
Menurut laporan antarabangsa, tindakan itu diambil sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan Rusia mengawal ekosistem digital negara dan mengalihkan pengguna kepada aplikasi pemesejan MAX yang dibangunkan untuk penduduk tempatan.
Meta pula menyifatkan langkah berkenaan sebagai cubaan terancang untuk memaksa rakyat Rusia berhijrah ke platform yang dikawal kerajaan.
Selain tiga platform Meta, perkhidmatan YouTube turut dilaporkan terjejas selepas domainnya turut dipadam daripada sistem DNS, sekali gus menghalang capaian biasa oleh pengguna di seluruh negara.
Pihak berkuasa Rusia mendakwa aplikasi dan platform luar berpotensi menimbulkan ancaman keselamatan serta digunakan untuk tujuan keganasan dan penyebaran pengaruh asing, justeru perlu disekat daripada operasi dalam negara. -Amanz