Skip to main content

Teknologi

X lancar ciri Reaksi Video untuk pengguna iOS

https://amanz.my/2026567417
Menerusi fungsi interaktif ini, pengguna kini boleh memberikan maklum balas kepada mana-mana hantaran menggunakan rakaman video pendek sendiri, sebagai alternatif kepada teks atau reaksi emoji konvensional. -Foto Amanz

SAN FRANCISCO: Platform media sosial X secara rasmi melancarkan ciri baharu dikenali sebagai Video Reaction (Reaksi Video) untuk pengguna sistem operasi iOS di seluruh dunia termasuk Malaysia.

Menerusi fungsi interaktif ini, pengguna kini boleh memberikan maklum balas kepada mana-mana hantaran menggunakan rakaman video pendek sendiri, sebagai alternatif kepada teks atau reaksi emoji konvensional, lapor Amanz.

Langkah ini dilihat sebahagian daripada strategi X untuk mempertingkatkan penglibatan pengguna melalui kandungan multimedia, sekali gus menyaingi format balasan video yang dipopularkan oleh platform seperti TikTok dan Instagram Reels.

Antara keupayaan suntingan visual yang disediakan termasuk pilihan paparan video dalam mod bertindih, latar belakang atau pembahagian skrin.

Antara muka kamera turut dilengkapi fungsi penukaran lensa hadapan dan belakang, denyar, serta kawalan audio sebelum video dipautkan ke hantaran asal sebagai ciapan petikan di garis masa.

Fungsi ini disahkan telah mula dilancarkan kepada pengguna peranti Apple di Malaysia bermula minggu ini.

Pengguna hanya perlu memilih untuk membuat petikan ciapan pada mana-mana hantaran sebelum merakam video balasan secara terus menggunakan kamera telefon pintar.

Setakat ini, pihak X belum mengumumkan garis masa pelancaran ciri tersebut untuk pengguna Android mahupun akses melalui pelayar web.

 

Must Watch Video

Advertisement