Skip to main content

Teknologi

X tamatkan program Creator Revenue Sharing bulan depan

41718408932_XTwitter.jpg
X berkata pendaftaran baharu untuk menyertai program berkenaan tidak lagi diterima berkuat kuasa serta-merta bagi membolehkan proses peralihan kepada sistem ganjaran baharu dilaksanakan. -Gambar fail
Advertisement

SAN FRANCISCO: Platform media sosial X mengumumkan program perkongsian pendapatan pencipta kandungan (Creator Revenue Sharing) akan ditamatkan berkuat kuasa pada 7 September 2026, lapor Amanz.

Syarikat itu berkata pendaftaran baharu untuk menyertai program berkenaan tidak lagi diterima berkuat kuasa serta-merta bagi membolehkan proses peralihan kepada sistem ganjaran baharu dilaksanakan.

Bagaimanapun, pencipta kandungan yang telah berdaftar di bawah program itu akan terus menjana pendapatan seperti biasa sehingga tarikh penamatan rasminya pada bulan hadapan.

Program perkongsian pendapatan itu diperkenalkan sebelum ini bagi menggalakkan pengguna menghasilkan dan berkongsi kandungan secara aktif, sekali gus menjana pendapatan berdasarkan jumlah capaian dan interaksi yang diterima.

Sebagai alternatif, X berkata pengguna yang ingin menjana pendapatan menerusi platform berkenaan boleh memohon untuk menyertai program ganjaran kandungan asli (Original Content Rewards Program).

Inisiatif baharu itu memfokuskan kandungan asli yang dihasilkan sendiri, termasuk laporan, analisis, ulasan, foto, video dan karya kreatif yang menyumbang nilai kepada perbincangan dalam platform tersebut.

Langkah itu bertujuan memberi penghargaan lebih tinggi kepada pencipta kandungan asli, di samping mengurangkan amalan memuat naik semula kandungan pihak lain atau bahan yang tidak memberikan nilai tambah kepada pengguna.

 

 

Must Watch Video

Advertisement