NEW YORK: Pengguna YouTube bakal mempunyai lebih kawalan terhadap cadangan video pada halaman utama platform itu menerusi pengenalan ciri kecerdasan buatan (AI) generatif baharu yang dikenali sebagai Custom Feeds, lapor Amanz.
Ciri itu dijangka mengubah pengalaman penemuan kandungan dengan membolehkan pengguna membina suapan video berdasarkan minat dan keutamaan tertentu, berbanding hanya bergantung kepada cadangan automatik platform.
Menerusi Custom Feeds yang diumumkan pada acara Made on YouTube 2026, pengguna boleh memasukkan arahan teks bagi menerangkan jenis kandungan yang ingin ditonton mengikut minat, rutin atau situasi tertentu.
Sistem AI berasaskan model bahasa besar (LLM) kemudiannya akan memproses arahan itu untuk menjana suapan video khusus yang dikemas kini secara automatik dengan cadangan baharu.
Menurut YouTube, pengguna boleh mencipta dan menyimpan beberapa suapan berbeza, termasuk berdasarkan topik khusus, minat tertentu atau pencipta kandungan yang ingin diterokai. Setiap suapan akan dipaparkan dalam tab tersendiri pada halaman utama platform.
Inisiatif itu bertujuan membantu pengguna meneroka pelbagai kandungan yang tersedia di platform berkenaan, sekali gus memudahkan penemuan pencipta dan topik baharu.
Ciri itu dijadual diperkenalkan secara berperingkat kepada pengguna di Amerika Syarikat melalui aplikasi mudah alih, desktop dan TV pada musim luruh tahun ini.
Bagaimanapun, YouTube belum mengumumkan sebarang garis masa rasmi bagi peluasan Custom Feeds ke pasaran antarabangsa termasuk Malaysia.