Skip to main content

Teknologi

YouTube ubah kiraan tontonan bermula 24 Ogos, paparan dikira sebaik video dimainkan

41713234741_YouTUBE.jpg
Mulai 24 Ogos, satu tontonan akan direkodkan sebaik sahaja video dimainkan, termasuk bagi kandungan video biasa, podcast dan siaran langsung. -Gambar fail
Advertisement

SAN FRANCISCO: YouTube bakal mengubah kaedah pengiraan tontonan awam bermula 24 Ogos ini dengan mengambil kira setiap tontonan sebaik sahaja sesuatu video mula dimainkan.

Perubahan itu dijangka meningkatkan angka tontonan awam bagi video, podcast dan siaran langsung yang diterbitkan di platform berkenaan, lapor Amanz.

Sebelum ini, YouTube menggunakan sistem pengiraan yang lebih ketat bagi menentukan sama ada sesuatu tontonan layak direkodkan sebagai paparan awam.

Meskipun syarikat itu tidak pernah mendedahkan ambang tepat yang digunakan, penggiat industri secara umum menganggap tontonan sekitar 30 saat diperlukan sebelum sesuatu paparan dikira.

Mulai 24 Ogos, satu tontonan akan direkodkan sebaik sahaja video dimainkan, termasuk bagi kandungan video biasa, podcast dan siaran langsung.

YouTube berkata perubahan tersebut dibuat bagi menyeragamkan kaedah pengiraan tontonan merentas semua format kandungan selepas pendekatan sama diperkenalkan bagi YouTube Shorts pada tahun lalu.

Langkah itu juga menjadikan YouTube lebih selaras dengan platform pesaing seperti TikTok dan Instagram yang mengira tontonan sebaik sahaja video dimainkan.

Bagaimanapun, YouTube menegaskan perubahan itu tidak akan memberi kesan kepada pendapatan pencipta kandungan atau syarat kelayakan Program Rakan Kongsi YouTube.

Ini kerana metrik penglibatan seperti Engaged Views dan Engaged Watch Hours akan terus digunakan dalam sistem analitik dalaman bagi tujuan monetisasi serta penilaian prestasi kandungan.

Menurut YouTube, pendekatan baharu itu bertujuan memberikan gambaran yang lebih jelas mengenai tahap pendedahan kandungan dan capaian sebenar sesuatu saluran kepada penonton, pengiklan serta rakan penaja. 

 

Must Watch Video

Advertisement