Skip to main content

Malaysia

'Jangan jadikan kami mangsa kedua' - Keluarga 55 rakyat Malaysia hilang di Nepal gesa pertemuan dengan AGC, Bank Negara

Ahli keluarga berpandangan, sementara proses pengesahan status antara Malaysia dan Nepal sedang berjalan, masalah yang dihadapi mereka di Malaysia tidak seharusnya turut menunggu. - Gambar fail/Bernama
Ahli keluarga berpandangan, sementara proses pengesahan status antara Malaysia dan Nepal sedang berjalan, masalah yang dihadapi mereka di Malaysia tidak seharusnya turut menunggu. - Gambar fail/Bernama

Advertisement

KUALA LUMPUR: Keluarga 55 rakyat Malaysia yang masih hilang dalam tragedi banjir kilat di Nepal menggesa kerajaan mengadakan pertemuan segera dengan Jabatan Peguam Negara dan Bank Negara Malaysia bagi mewujudkan mekanisme khas serta sementara untuk menangani isu perundangan dan kewangan yang dihadapi keluarga terbabit.

Wakil keluarga, Dr R Manivannan ketika dihubungi Astro AWANI berkata, ia penting bagi membantu keluarga yang kini berdepan tekanan kewangan sementara proses pengesahan status rakyat Malaysia yang masih hilang itu berjalan.

Katanya, antara yang dihadapi keluarga termasuk komitmen pinjaman perumahan, kenderaan dan insurans, selain tiada akses kepada akaun bank, pembiayaan serta komitmen kewangan lain yang masih atas nama individu yang hilang.

"Dalam sesetengah keluarga, mereka yang hilang merupakan pencari nafkah utama.

"Sebab itu kami sekali lagi memohon supaya Jabatan Peguam Negara bersama Bank Negara Malaysia dan agensi berkaitan duduk bersama keluarga untuk mewujudkan satu mekanisme khas dan sementara bagi 55 rakyat Malaysia yang masih hilang," katanya di sini pada Khamis.

Menurut Manivannan, antara cadangan yang dikemukakan ialah moratorium atau penangguhan bayaran bagi komitmen kewangan berkaitan sepanjang tempoh ini, selain mekanisme yang jelas bagi urusan akaun, pinjaman, insurans dan aset.

"Kami tidak meminta hutang dihapuskan. Kami juga tidak meminta layanan istimewa yang tidak mempunyai asas undang-undang.

"Apa yang kami minta ialah satu penyelesaian yang mempunyai asas undang-undang supaya keluarga tidak menjadi mangsa kedua kepada tragedi ini," katanya.

Dalam pada itu, Manivannan sekali lagi mengulangi rayuan supaya pertemuan secara langsung dengan Perdana Menteri dapat diadakan bagi membolehkan wakil keluarga menyampaikan sendiri keadaan yang sedang mereka hadapi.

Katanya, perkara itu termasuk isu pencarian, proses pengesahan status, keperluan perundangan serta tekanan kewangan yang semakin berat.

"Kami tidak mahu hanya menyampaikan suara keluarga melalui surat atau melalui orang tengah.

"Kami berharap Perdana Menteri dapat memberikan sedikit masa untuk mendengar sendiri daripada wakil keluarga dan melihat keseluruhan keadaan ini daripada perspektif mereka yang sedang menunggu," ujarnya.

Beliau berkata, pertemuan itu juga dapat membantu menyelaraskan tindakan antara kementerian, proses di Nepal dan bantuan yang diperlukan keluarga di Malaysia.

Manivannan berkata, sementara proses pengesahan status antara Malaysia dan Nepal sedang berjalan, masalah yang dihadapi keluarga di Malaysia tidak seharusnya turut menunggu.

"Jika kerajaan sedang berusaha mempercepatkan pengesahan status di Nepal, kami berharap kerajaan juga dapat bergerak pantas di Malaysia.

Menurutnya, kedua-dua proses berkenaan perlu berjalan serentak bagi memastikan keluarga tidak terus berdepan tekanan kewangan ketika menunggu kepastian mengenai orang tersayang.

Dalam pada itu, beliau menyambut baik perkembangan Perdana Menteri Nepal, Balendra Shah bersetuju membantu mempercepatkan proses pengesahan status kesemua 55 rakyat Malaysia yang masih belum ditemukan.

"Kami faham proses ini melibatkan undang-undang Nepal, proses mahkamah dan bidang kuasa kedua-dua negara. Namun, setiap hari yang berlalu memberi kesan yang sangat besar kepada keluarga yang masih menunggu kepastian.

"Bagi kami, selepas 36 hari, ini merupakan perkembangan yang penting," katanya.

Beliau turut menghargai tindakan Perdana Menteri yang mengarahkan Peguam Negara mengadakan perbincangan segera dengan pihak berkuasa Nepal.

Pengisytiharan kematian bagi individu yang hilang dan masih belum ditemukan adalah tertakluk kepada undang-undang negara masing-masing, iaitu tiga tahun di Nepal dan tujuh tahun di Malaysia.

Must Watch Video

Advertisement