Skip to main content

Malaysia

Akta Perkhidmatan Parlimen kembali berkuat kuasa selepas lebih tiga dekad

Azalina berkata, penguatkuasaan semula Akta Perkhidmatan Parlimen selepas lebih tiga dekad menandakan satu detik penting dalam sejarah Parlimen Malaysia. - Gambar hiasan/Parlimen Malaysia
Azalina berkata, penguatkuasaan semula Akta Perkhidmatan Parlimen selepas lebih tiga dekad menandakan satu detik penting dalam sejarah Parlimen Malaysia. - Gambar hiasan/Parlimen Malaysia

Advertisement

KUALA LUMPUR: Selepas lebih tiga dekad dimansuhkan, Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 [Akta 869] kembali berkuat kuasa hari ini, dengan memberi autonomi kepada Parlimen dalam menguruskan pentadbiran dan hal ehwalnya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, penguatkuasaan akta itu menjadi antara pencapaian penting dalam agenda reformasi institusi kerajaan.

Menurutnya, penguatkuasaan semula akta berkenaan selepas lebih tiga dekad turut menandakan satu detik penting dalam sejarah Parlimen Malaysia.

Katanya, Akta 869 membolehkan Parlimen mempunyai perkhidmatan khusus bagi menguruskan pentadbiran, sumber manusia dan hal ehwalnya secara lebih bebas serta berkesan.

"Langkah ini turut memperkukuh kedudukan Parlimen sebagai badan perundangan tertinggi dalam sistem demokrasi berparlimen negara," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Tambah Azalina, reformasi itu turut mencerminkan komitmen kerajaan dalam mendukung prinsip pengasingan kuasa serta sistem semak dan imbang antara cabang perundangan, eksekutif dan kehakiman.

Menurutnya, dengan autonomi institusi yang lebih kukuh, Parlimen dapat melaksanakan fungsi perlembagaan serta tanggungjawabnya kepada rakyat dengan lebih bebas, berkesan dan berwibawa.

Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 sebelum ini dimansuhkan menerusi Akta Perlembagaan (Pindaan) 1992 yang berkuat kuasa pada 20 November 1992.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menyifatkan penguatkuasaan akta berkenaan sebagai satu pencapaian penting dalam memperkukuh sistem demokrasi Malaysia.

Menurutnya, akta itu membolehkan Parlimen berfungsi secara lebih bebas daripada pentadbiran kerajaan, dengan kedua-dua institusi melaksanakan fungsi masing-masing.

Must Watch Video

Advertisement