Skip to main content

Malaysia

Pempengaruh Aisar Khaled didakwa terbabit penipuan RM1.3 juta di Indonesia

[TB]_Aisar Khaled_ASTRO GEMPAK
Aisar Khaled dilaporkan kepada pihak polis Indonesia berhubung dakwaan penipuan melibatkan nilai sekitar 5.7 bilion rupiah (RM1.3 juta).
Advertisement

JAKARTA: Pempengaruh media sosial terkenal, Aisar Khaled dilaporkan kepada pihak polis Indonesia berhubung dakwaan penipuan melibatkan nilai sekitar 5.7 bilion rupiah (RM1.3 juta).

Menurut laporan Tribunnews.com, aduan itu dikemukakan kepada Kepolisian Daerah Metropolitan Jakarta Raya (Polda Metro Jaya) pada Isnin selepas Aisar didakwa tidak memberikan sebarang maklum balas terhadap tiga notis tuntutan yang dihantar kepadanya.

Peguam yang mewakili syarikat terbabit, Machi Achmad berkata, laporan tersebut dibuat berdasarkan beberapa peruntukan di bawah Undang-Undang Nombor 1 Tahun 2023 mengenai Kitab Undang-Undang Hukum Pidana (KUHP).

“Kami hadir hari ini bagi mewakili pelanggan untuk membuat laporan terhadap seorang pempengaruh mengikut Seksyen 492, 486 dan 607 Undang-Undang Nombor 1 Tahun 2023,” katanya ketika ditemui di Polda Metro Jaya.

Menurut Machi, pihaknya telah menghantar tiga notis tuntutan kepada Aisar, namun mendakwa tidak menerima sebarang maklum balas atau maklumat mengenai keberadaan pempengaruh tersebut.

Sementara itu, seorang lagi peguam, Michael Sugijanto berkata, pertikaian itu berpunca daripada perjanjian pelaburan yang dimeterai antara Aisar dan syarikat berkenaan.

Beliau mendakwa, masih terdapat baki kewajipan yang belum diselesaikan oleh Aisar, melibatkan jumlah kira-kira 5.7 bilion rupiah.

“Berdasarkan perjanjian yang dipersetujui, baki yang masih belum dibayar adalah sekitar 5.7 bilion rupiah,” katanya.

Michael turut mendakwa, Aisar mempunyai beberapa tanggungjawab lain yang perlu dipenuhi sebagai sebahagian daripada pelaksanaan perjanjian itu, termasuk menghadiri acara tertentu secara bersemuka.

Bagaimanapun, syarikat berkenaan mendakwa, kewajipan yang dipersetujui itu masih belum dilaksanakan sepenuhnya.

Menurut beliau, pelbagai usaha telah dilakukan untuk menyelesaikan perkara itu secara baik, termasuk menghubungi Aisar secara langsung dan menghantar beberapa notis tuntutan, namun tidak mendapat sebarang respons.

Susulan laporan yang dibuat, pihak berkuasa Indonesia kini dijangka menjalankan siasatan bagi menentukan sama ada terdapat unsur jenayah dalam pertikaian tersebut.

Setakat ini, Aisar masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung dakwaan yang dikemukakan terhadapnya. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement