HULU LANGAT: Kerajaan Negeri Selangor mengarahkan tindakan tegas diambil terhadap dua premis kitar semula yang dikenal pasti menjadi punca insiden pencemaran bau di Sungai Kabul, Semenyih.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pihak Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) telah membuka dua kertas siasatan terhadap dua premis terlibat susulan pencemaran bau yang dikesan sehingga tahap tujuh ton di muka sauk.
Advertisement
Menurut beliau, siasatan dijalankan di bawah peruntukan Enakmen LUAS yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun jika disabitkan kesalahan.
Premis terlibat juga pernah dikenakan tindakan kompaun pada tahun 2025.
“Kerajaan negeri akan mengambil tindakan yang serius terhadap aktiviti ini. Berdasarkan bukti serta sampel yang dihantar ke makmal, memang jelas terdapat pelanggaran yang menyebabkan pencemaran bau berlaku,” katanya semasa hadir melakukan tinjauan pencemaran di sekitar Sungai Kabul dan Jalan Perindustrian Mahkota, pada Ahad.
Beliau turut mengarahkan agensi berkaitan termasuk Jabatan Alam Sekitar dan pihak Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) menjalankan siasatan segera terhadap beberapa lagi premis di kawasan sama bagi mengelakkan kejadian berulang.
Dalam pada itu, Air Selangor telah menggerakkan pasukan bagi membantu kerja-kerja pembersihan di kawasan terlibat susulan pencemaran bau yang dikesan pada 19 Februari lepas, termasuk mengoperasikan beberapa lori sedutan serta menempatkan helaian sedut minyak (oil pads) dan joran minyak (oil booms) di lokasi kejadian bagi tujuan kawalan dan pembersihan.
Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Adam Saffian Ghazali berkata, tindakan itu merupakan sokongan kepada LUAS dan Kerajaan Negeri Selangor di samping mempertingkatkan pemantauan kualiti air mentah bagi memastikan operasi loji rawatan air kekal stabil dan terkawal.
Sebagai langkah mitigasi tambahan, Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) serta pelarasan sistem agihan bekalan air (supply diversion) telah diaktifkan bagi memastikan kestabilan sistem bekalan.
Jelasnya, pengaktifan SJAM berjaya mengelakkan gangguan bekalan air kepada kira-kira 400,000 akaun pengguna susulan kejadian itu.
Pensampelan air telah dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk analisis lanjut dan pemantauan intensif diteruskan bagi memastikan tiada lagi risiko kepada operasi loji serta bekalan air di kawasan terjejas.
“Air Selangor sentiasa komited dalam memastikan keterjaminan bekalan air kepada para pengguna. Saya ingin merakamkan penghargaan di atas komitmen dan dedikasi tinggi pasukan kami yang telah bertindak pantas di lapangan dalam menyokong usaha kawalan dan pembersihan.
"Keutamaan kami adalah memastikan operasi loji rawatan air kekal stabil dan bekalan air terawat yang bersih dan selamat terus disalurkan kepada 9.62 juta pengguna," katanya.