Skip to main content

Berita

Pendidikan asas tangani budaya fitnah, perpecahan — PM

KUALA LUMPUR, 28 April -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada majlis Temu Anwar dan Majlis peluncuran pembinaan bangunan baharu Universiti UCSI hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada majlis Temu Anwar dan Majlis peluncuran pembinaan bangunan baharu Universiti UCSI hari ini. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Pendidikan berteraskan nilai akhlak merupakan jawapan utama dalam menangani budaya fitnah, kebencian dan perpecahan yang semakin ketara dalam era media sosial masa kini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata dalam dunia demokrasi yang terbuka, pelbagai pandangan dilontarkan oleh masyarakat, sama ada berasaskan fakta, emosi atau kepentingan tertentu, sekali gus menjadikan cabaran mengurus persepsi awam semakin kompleks.

Advertisement

“Di dunia media sosial, sebahagiannya tahu, sebahagiannya tidak tahu, sebahagiannya diupah, sebahagiannya marah. Jadi susah. Sebab itu saya kata jawapan sebenar adalah pendidikan.

"Mesti ada nilai akhlak, tak boleh zalim, tak boleh fitnah orang, tak boleh hina satu sama lain,” katanya dalam sesi Temu Anwar bersama pelajar Universiti UCSI, pada Selasa.

Perdana Menteri turut mengingatkan bahawa nilai agama tidak boleh disalahgunakan untuk menghina pihak lain, termasuk dalam isu sensitif yang melibatkan kepercayaan dan amalan masyarakat pelbagai kaum.

Beliau berkata budaya memperbesarkan isu secara tidak berasas juga perlu dihentikan kerana ia boleh mencetuskan persepsi negatif terhadap negara.

“Saya seorang Muslim, tapi tak boleh menghina orang makan babi. Di mana ajaran agama kita yang menghina orang makan babi? Orang bukan Islam boleh makan babi. Saya tak makan dan kalau boleh janganlah makan tepi saya. Itu logik.

“Tapi tiba-tiba ia jadi isu besar. Baru-baru ini di Selangor ada isu itu, dihebahkan dan diperbesarkan.

"Ini satu penyakit. Padahal kita tahu ia tidak benar. Tapi (pemfitnah) tidak ada kesedaran sendiri,” katanya lagi.

Mengimbas pengalaman peribadi, Perdana Menteri berkata kesukaran hidup yang pernah dilalui, termasuk tempoh dipenjarakan, menjadi pendorong untuk beliau terus berkhidmat kepada negara dengan sebaik mungkin.

“Saya lalui hidup yang agak sukar. Hampir 11 tahun masuk keluar penjara, kena dera dan dipukul agak teruk. Tapi saya anggap itu semua ujian daripada Allah.

“Sekarang saya sihat, saya ada kedudukan dan kuasa, maka saya harus lakukan sebaik mungkin untuk negara, untuk rakyat,” katanya.

Must Watch Video