Skip to main content

Malaysia

Pegawai kanan polis direman, disyaki terima rasuah lindungi pusat hiburan

sprm
Suspek berusia lingkungan 50-an itu ditahan kira-kira 2 petang semalam di kediamannya. - Gambar hiasan

KUANTAN: Seorang pegawai kanan polis direman lima hari hingga 2 Mei ini bagi membantu siasatan berhubung dakwaan meminta dan menerima rasuah kira-kira RM64,000 sebagai balasan melindungi kegiatan pusat hiburan tidak sah di sebuah daerah di Pahang.

Perintah reman terhadap suspek lelaki itu dikeluarkan Majistret Ellyna Mahussin selepas permohonan dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Kuantan pagi tadi.

Advertisement

Menurut sumber, suspek berusia lingkungan 50-an itu ditahan kira-kira 2 petang semalam di kediamannya.

“Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut antara 2020 hingga 2023 ketika bertugas di satu daripada daerah di negeri ini.

“Suspek dipercayai menerima wang rasuah secara bulanan daripada dua pemilik pusat hiburan melalui transaksi pemindahan wang ke akaun bank peribadi miliknya,” katanya

Sementara itu, Pengarah SPRM Pahang Mohd Shukor Mahmud ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video