Skip to main content

Malaysia

19 tahun julang UNESCO Global Geopark, Langkawi terus mekar di persada global

Langkawi
UNESCO Global Geopark terus membentuk identiti Langkawi menerusi lima teras utama iaitu geokonservasi, geoedukasi, geopelancongan, pembangunan lestari dan penyertaan komuniti. - Foto Naturally Langkawi

LANGKAWI: Hampir dua dekad selepas diiktiraf sebagai UNESCO Global Geopark pertama di Asia Tenggara pada tahun 2007, Langkawi terus membuktikan bahawa pembangunan pelancongan dan pemeliharaan alam semula jadi mampu bergerak seiring.

Pengiktirafan itu bukan sekadar meletakkan pulau legenda tersebut di peta dunia, malah menjadi komitmen jangka panjang dalam melindungi warisan geologi, memperkasa komuniti setempat serta membangunkan sektor pelancongan yang lebih lestari dan bertanggungjawab.

Hari ini, status UNESCO Global Geopark terus membentuk identiti Langkawi menerusi lima teras utama iaitu geokonservasi, geoedukasi, geopelancongan, pembangunan lestari dan penyertaan komuniti.

Keunikan geologi Langkawi yang menjangkau lebih 500 juta tahun menjadi antara faktor utama pulau itu menerima pengiktirafan UNESCO. Formasi batuan purba, gua batu kapur, hutan paya bakau serta kepelbagaian biodiversiti menjadikan Langkawi antara khazanah alam semula jadi paling bernilai di rantau ini.

Image
Langkawi UNESCO, Naturally Langkawi
Pelbagai spesis lautan unik di Langkawi yang seringkali menarik minat pelbagai lapisan pelancong. - Naturally Langkawi

Antara lokasi yang menjadi tunjang kepada status geopark tersebut ialah Kilim Karst Geoforest Park yang terkenal dengan ekosistem bakau dan formasi batu kapur unik, Machinchang Cambrian Geoforest Park yang menempatkan antara batuan tertua di Asia Tenggara serta Dayang Bunting Marble Geoforest Park yang terkenal dengan landskap marmar dan tasik semula jadinya.

Usaha pemuliharaan di kawasan-kawasan ini terus diperkasakan bagi memastikan keseimbangan antara keperluan pelancongan dan perlindungan alam sekitar dapat dikekalkan untuk generasi akan datang.

Selain pemuliharaan, Langkawi turut berkembang sebagai pusat pembelajaran alam semula jadi menerusi pelbagai inisiatif pendidikan termasuk program Geopark Discovery Centre dan Geopark to School yang meningkatkan kesedaran mengenai geologi, biodiversiti dan kepentingan penjagaan alam sekitar.

Pendekatan geopelancongan yang diamalkan pula membolehkan pengunjung menikmati pengalaman yang lebih bermakna melalui aktiviti seperti lawatan bakau di Kilim Karst Geoforest Park, penerokaan gua, kayak, pelayaran eko, island hopping serta denai alam semula jadi yang menghubungkan pelawat dengan sejarah, budaya dan warisan pulau tersebut.

Image
Langkawi UNESCO, Naturally Langkawi
Pelabagai perkampungan nelayan, aktiviti kraf tempatan dan produk pelancongan berimpak rendah memberi manfaat langsung kepada penduduk setempat. - Foto Naturally Langkawi

Pendekatan itu turut membantu mengukuhkan kedudukan Langkawi sebagai destinasi pilihan pelancong yang mencari pengalaman pelancongan berasaskan alam semula jadi, pendidikan dan kelestarian.

Dalam masa sama, komuniti setempat terus memainkan peranan penting dalam kejayaan Langkawi UNESCO Global Geopark. Penduduk, pengusaha pelancongan, nelayan, sekolah serta perusahaan kecil tempatan bukan sahaja terlibat dalam usaha pemuliharaan, malah menjadi sebahagian daripada pengalaman yang dinikmati pelawat.

Pulau Tuba misalnya menjadi contoh kejayaan pelancongan berasaskan komuniti menerusi program inap desa, pengalaman perkampungan nelayan, aktiviti kraf tempatan dan produk pelancongan berimpak rendah yang memberi manfaat langsung kepada penduduk setempat.

Menjelang simposium antarabangsa yang dijadual berlangsung pada September depan, Langkawi dijangka menerima kehadiran penyelidik, pembuat dasar, wakil geopark dan delegasi dari seluruh dunia untuk membincangkan isu pemuliharaan, pendidikan, pembangunan mampan dan pelancongan bertanggungjawab.

Image
Langkawi UNESCO, Naturally Langkawi
Pengunjung boleh menikmati lawatan bot menyusuri sungai sambil melihat keindahan hutan bakau, gua-gua batu kapur, dan hidupan liar seperti helang dan ikan pari. - Foto Naturally Langkawi

Ulang tahun UNESCO Global Geopark kali ini menjadi peringatan bahawa kejayaan Langkawi bukan hanya terletak pada keindahan alamnya, tetapi pada usaha berterusan untuk memastikan alam semula jadi, warisan, komuniti dan pelancongan terus berkembang secara seimbang demi generasi akan datang.

Must Watch Video

Advertisement