Skip to main content

Malaysia

Akademi Vokasional McDonald’s lahirkan 5,500 graduan

MCD GRADUASI 1_McDonald's Malaysia.jpg
Majlis Konvokesyen Akademi Vokasional McDonald’s Malaysia ke-6 di World Trade Centre Kuala Lumpur meraikan 359 graduan. - Foto McDonald's Malaysia
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kelayakan yang diiktiraf industri serta pengalaman kerja sebenar semakin penting dalam memastikan golongan muda lebih bersedia memasuki pasaran pekerjaan yang kian menuntut kemahiran dan kecekapan.

Pendekatan itu diterapkan McDonald’s Malaysia menerusi Akademi Vokasional McDonald’s yang menggabungkan latihan berasaskan industri dengan kelayakan kemahiran bagi membina kompetensi, keyakinan dan laluan kerjaya golongan muda.

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar, berkata pengiktirafan terhadap kemahiran memberi nilai tambah kepada graduan, khususnya dari segi keyakinan dan kebolehpasaran.

“TVET berkeupayaan untuk menyediakan laluan daripada pembelajaran kepada pekerjaan dan perkembangan kerjaya serta membentuk karakter diri. Selain itu, penglibatan industri turut memainkan peranan penting bagi memastikan latihan kekal relevan dengan keperluan sebenar tempat kerja.

“Program seperti Akademi Vokasional McDonald’s menunjukkan bagaimana pembelajaran, pengalaman praktikal dan kelayakan yang diiktiraf boleh digabungkan untuk menyediakan golongan muda agar terus berkembang serta menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Konvokesyen Akademi Vokasional McDonald’s Malaysia ke-6 di World Trade Centre Kuala Lumpur yang meraikan 359 graduan.
 

Image
MCD GRADUASI 1_McDonald's Malaysia.jpg
(Dari kiri) Azmir, Nur Alina Amira, Siti Harlisa Aina dan Mageswaran dalam sesi bergambar selepas menerima anugerah khas  pada Majlis Konvokesyen Akademi Vokasional McDonald’s Malaysia ke-6. - Foto McDonald's Malaysia


Antara graduan terbaik yang menerima pengiktirafan ialah Nur Alina Amira Abdul Rahim bagi Penilaian Teori, Mageswaran Nagappan bagi keseluruhan dan Siti Harlisa Aina Hartawan bagi Penilaian Praktikal.

Ditubuhkan pada 2018 dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Akademi Vokasional McDonald’s menggabungkan 30 peratus pembelajaran di dalam kelas dan 70 peratus latihan praktikal di restoran McDonald’s sepanjang tempoh 18 bulan.

Program itu membolehkan peserta memperoleh kemahiran teknikal, pengalaman kerja sebenar serta kelayakan yang diiktiraf, termasuk Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3, selain peluang meneruskan latihan ke Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) Tahap 4.

Menurut Azmir, penglibatan industri membolehkan golongan muda mengaplikasikan pembelajaran secara langsung dalam persekitaran kerja sebenar, sekali gus merapatkan jurang antara teori dan keperluan pekerjaan.

“Kita memberi peluang kepada anak-anak muda ini untuk bekerja, belajar sambil bekerja secara masa nyata di suasana restoran yang sebenar.

“Pembelajaran di sini tidak setakat mengetengahkan teori. Dengan perbezaan ini, pelajar tidak hanya belajar teori kerana kalau fokus pada teori sahaja, selepas mula bekerja nanti, mereka perlu belajar semula.

“Tetapi di McDonald’s ini dua-dua sekali, 70 peratus di restoran, buat kerja memimpin pelajar-pelajar baharu kalau mereka telah senior dan juga bukan setakat kerja memasak tetapi juga membuat pengiraan hasil P&L ordering (penyata untung rugi).

“Maka, banyak pengalaman-pengalaman yang disediakan dalam restoran ini tidak berada di institusi-institusi pengajian tinggi,” ujarnya.

Image
MCD GRADUASI 1_McDonald's Malaysia.jpg
Akademi Vokasional McDonald’s menggabungkan 30 peratus pembelajaran di dalam kelas dan 70 peratus latihan praktikal di restoran McDonald’s sepanjang tempoh 18 bulan. - Foto McDonald's Malaysia


Pendekatan latihan berasaskan industri itu turut menyokong usaha memperkasa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan industri memainkan peranan dalam memastikan kemahiran yang dibangunkan kekal relevan dengan keperluan sebenar tempat kerja.

Sehingga kumpulan graduan 2026, Akademi Vokasional McDonald’s telah melahirkan hampir 5,500 graduan dalam bidang perkhidmatan makanan dan hospitaliti sejak 2018 dengan kira-kira 80 peratus meneruskan kerjaya bersama McDonald’s Malaysia.

Maklumat lanjut mengenai Akademi Vokasional McDonald’s dan pengambilan seterusnya boleh didapati di www.mcdonalds.com.my .

Must Watch Video

Advertisement