GENEVA: Perlis bakal menyaksikan kemeriahan pelbagai program dan acara pelancongan menarik sepanjang bulan Mac dan April ini sempena Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2026 dan Tahun Melawat Malaysia 2026.
Rangkaian acara yang disusun secara strategik itu merangkumi segmen keagamaan, pertanian, kesenian, sukan serta program komuniti, yang diyakini mampu menarik kehadiran pelancong domestik dan antarabangsa, sekali gus merancakkan sektor pelancongan serta pertumbuhan ekonomi tempatan.
Advertisement
Menurut kenyataan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis yang dititahkan Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sempena pelancaran Promosi Masakan Perlis, di sini, baru-baru ini, bulan Mac akan diserikan dengan pelbagai program kerohanian dan kemasyarakatan bersempena Ramadan.
Antara acara dijadual berlangsung ialah Program Raudhatul Iktikaf (10 hingga 20 Mac), Majlis Rukyah Hilal Syawal (18 Mac), Program Jom Ramadan di Perlis (19 hingga 20 Mac) serta Solat Aidilfitri di Perkarangan Dataran Istiadat Istana Arau pada 1 Syawal, tertakluk kepada keadaan cuaca.
Penganjuran program berkenaan bukan sahaja memperkukuh nilai spiritual dalam kalangan masyarakat, malah membuka peluang kepada pelancong untuk merasai sendiri keindahan serta kemeriahan Ramadan dan Aidilfitri di Perlis dalam suasana harmoni.
Memasuki April, kalendar pelancongan negeri terus rancak dengan penganjuran Perlis Mango Agriculture Fest pada 4 hingga 5 April yang mengetengahkan keunikan mangga Harumanis serta produk agro tempatan.
Selain itu, Perlis Agrofest 2026 dari 24 hingga 26 April menjadi platform komprehensif mempromosikan sektor pertanian, penternakan dan industri asas tani negeri.
Dalam segmen sukan pula, Perlis International Marathon (PIM) 2026 yang dijadual berlangsung pada 25 April dijangka menarik penyertaan pelari dari dalam dan luar negara, sekali gus mengukuhkan kedudukan Perlis sebagai destinasi acara sukan bertaraf antarabangsa.
Turut memeriahkan April ialah Konsert Orkestra Diraja, Perkampungan Sunnah, Pesta Taman Cahaya dan Festival Kopi yang menambah kepelbagaian tarikan kepada pengunjung.
Pada majlis sama, turut berangkat Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil bersama anakanda baginda, termasuk Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
Hadir sama Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva, Datuk Nadzirah Osman serta Timbalan Wakil Tetap Malaysia merangkap Menteri Penasihat, Suraya Ahmad Pauzi.
Promosi Masakan Perlis itu dianjurkan bersama Pejabat Perutusan Tetap Malaysia ke PBB di Geneva oleh YTSP Perlis dan Yayasan Tuanku Fauziah dengan kerjasama Yayasan Harmoni serta Duwan Easy Eat.
Menurur Nadzirah, Majlis Rumah Terbuka bersama diaspora Malaysia dan wakil tetap serta duta besar asing ke PBB di Geneva akan diadakan bagi meraikan Syawal, selain mempromosikan makanan dan pelancongan Malaysia sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
Antara yang diketengahkan ialah juadah warisan negeri, kurma daging ‘Ready To Eat’ dari Perlis yang diangkat sebagai ikon kulinari ke pentas antarabangsa, memperlihatkan keunikan cita rasa tradisional negeri itu kepada khalayak global.
Dalam perkembangan berkaitan, Pejabat Perutusan Tetap Malaysia ke PBB di Geneva yang beroperasi di International Centre Cointrin (ICC) turut mengadakan Majlis Berbuka Puasa dan solat tarawih bersama pegawai serta ahli keluarga pada 21 Februari lalu.
Selain itu, Persatuan Wanita Pejabat Perutusan Tetap Malaysia ke PBB Geneva (PERWAKILAN Geneva) menganjurkan Program Tadarrus al-Quran sepanjang Ramadan.
Pejabat berkenaan juga mengadakan program pengenalan Bahasa Melayu kepada murid tempatan bersempena sambutan Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa pada Februari.