Skip to main content

Malaysia

Dua guru SK Manir bangunkan aplikasi galak gaya hidup sihat dalam kalangan murid

KUALA TERENGGANU, 14 Julai -- Guru Sekolah Kebangsaan (SK) Manir, Zuraidah Hassim, 45, (kanan) bersama Najjah Salaamah Jusoh, 37, menunjukkan aplikasi digital Program SAM (Sihat, Aktif Manirian) serta trofi Anugerah AIA Outstanding Active Lifestyles 2026 yang dimenangi menerusi pertandingan AIA Healthiest Schools peringkat Asia Pasifik di Bangkok, Thailand pada 8 Julai.  Aplikasi yang dibangunkan pada awal Januari lepas itu diwujudkan susulan peningkatan bilangan murid mengalami lebihan berat badan, kurang
Zuraidah (kanan) dan Najjah Salaamah menunjukkan aplikasi Program SAM serta trofi Anugerah AIA Outstanding Active Lifestyles 2026 yang dimenangi menerusi pertandingan AIA Healthiest Schools peringkat Asia Pasifik di Bangkok, Thailand pada 8 Julai. --fotoBERNAMA
Advertisement

KUALA TERENGGANU: Peningkatan jumlah murid yang mengalami lebihan berat badan serta tabiat pengambilan makanan dan minuman manis, mendorong dua guru Sekolah Kebangsaan (SK) Manir membangunkan aplikasi digital dikenali sebagai Program SAM (Sihat, Aktif Manirian) bagi membudayakan amalan hidup sihat dalam kalangan murid.

Kejayaan membangunkan aplikasi Program SAM itu turut mengharumkan nama Malaysia, apabila SK Manir muncul penerima Anugerah AIA Outstanding Active Lifestyles 2026 dengan hadiah bernilai USD15,000 menerusi pertandingan AIA Healthiest Schools peringkat Asia Pasifik di Bangkok, Thailand pada 8 Julai.

Aplikasi itu dibangunkan pada awal Januari lepas oleh guru mata pelajaran Sains Zuraidah Hassim, 45, dan guru Bahasa Inggeris Najjah Salaamah Jusoh, 37, susulan pihak sekolah mengenal pasti sebahagian murid kurang aktif, gemar mengambil makanan dan minuman manis serta tidak mengamalkan gaya hidup sihat secara konsisten.

Zuraidah berkata pihak sekolah telah melaksanakan pelbagai inisiatif seperti senamrobik, menyediakan penapis air bagi menggalakkan murid minum air kosong, menggalakkan pengambilan minuman prebiotik, serta menjalinkan kerjasama dengan klinik kesihatan untuk memberi pendedahan berkaitan pemakanan sihat kepada murid-murid.

“Namun kami tidak mahu amalan itu hanya terhenti di sekolah dan ingin budaya hidup sihat tersebut diteruskan di rumah. Jadi saya bersama dengan Cikgu Najjah Salaamah membangunkan aplikasi SAM, sebagai platform untuk mendidik dan merekod amalan harian gaya hidup sihat dalam kalangan murid,” katanya kepada Bernama di SK Manir di sini hari ini.

Zuraidah berkata aplikasi itu dibangunkan menggunakan platform Canva Code yang menjana aplikasi berasaskan laman web dan kini digunakan untuk kegunaan dalaman sekolah.

Beliau berkata melalui aplikasi itu, murid merekodkan pengambilan air kosong, makanan sihat dan tempoh aktiviti fizikal pada setiap hari.

“Bagi menggalakkan penyertaan, kami memasukkan elemen gamifikasi. Murid yang mencapai sasaran tertentu akan menerima lencana seperti ‘Raja Air’, ‘Raja Nutrisi’ dan ‘Wira Aktif’. Kami tekankan aspek kejujuran, kerana matlamat utama aplikasi ini ialah mendidik murid supaya mengamalkan gaya hidup sihat, sehingga menjadi budaya dalam kehidupan mereka,” katanya.

Zuraidah berkata aplikasi itu kini melibatkan kira-kira 300 murid Tahap Dua iaitu Tahun Empat, Lima dan Enam, manakala program sokongan seperti senamrobik, ceramah pemakanan serta pengambilan minuman prebiotik, melibatkan semua murid dan guru di sekolah.

Beliau berkata kebanyakan murid mengakses aplikasi itu, menggunakan telefon pintar ibu bapa melalui pautan yang diberikan pihak sekolah, sekali gus penglibatan ibu bapa sangat penting kerana mereka membantu memantau rekod anak-anak, selain menyediakan makanan yang lebih sihat di rumah. 

“Walaupun data khusus mengenai penurunan berat badan masih dikumpulkan, pihak sekolah melihat peningkatan ketara dari segi kesedaran murid terhadap kepentingan pemakanan sihat, pengambilan air kosong dan aktiviti fizikal.

Maklum balas daripada ibu bapa juga sangat positif dan mereka memaklumkan anak-anak kini lebih banyak minum air kosong, mengurangkan minuman manis dan lebih bijak memilih makanan yang lebih sihat,” katanya.

Beliau berkata pihak sekolah turut merancang membangunkan aplikasi itu sebagai aplikasi mudah alih, yang boleh dimuat naik dalam Play Store pada masa hadapan, bagi memperluas penggunaannya.

Sementara itu, Najjah Salaamah berkata sejak aplikasi itu diperkenalkan awal tahun ini, kebanyakan murid menunjukkan perubahan positif daripada aspek kecergasan fizikal, pemilihan makanan dan minuman yang lebih sihat serta penglibatan aktif dalam aktiviti sukan.

“Antara perubahan yang paling ketara ialah peningkatan pencapaian murid dalam sukan. Pada tahun ini, murid SK Manir berjaya memenangi pingat emas acara 100 meter bagi kategori lelaki bawah 11 tahun dan pingat gangsa bawah 12 tahun, selain pasukan bola sepak dan bola baling sekolah turut mencatat prestasi lebih baik, berbanding tahun-tahun sebelumnya.

“Kejayaan ini menunjukkan murid kini lebih cergas, bertenaga dan mempunyai stamina yang lebih baik hasil amalan gaya hidup sihat yang diterapkan melalui aplikasi ini,” katanya sambil menambah aplikasi itu bukan hanya disasarkan kepada murid yang mengalami masalah berat badan, malah turut membudayakan amalan hidup sihat dalam kalangan semua murid.

Najjah Salaamah berkata pada peringkat awal pelaksanaan program, murid merekodkan pengambilan makanan dan aktiviti fizikal secara manual, sebelum data berkenaan dipindahkan ke dalam aplikasi.

Beliau berkata murid digalakkan mengemas kini rekod pada waktu malam di rumah dengan menggunakan telefon bimbit ibu bapa, sekali gus membolehkan mereka membuat refleksi terhadap amalan pemakanan dan aktiviti harian sebelum tidur.

“Aplikasi itu turut membolehkan guru memantau tahap penglibatan murid melalui data seperti kedudukan ranking dan pencapaian lencana, selain penghargaan diberikan setiap satu atau dua bulan kepada murid paling aktif. 

“Sambutan terhadap aplikasi ini amat menggalakkan walaupun penggunaannya tidak diwajibkan dan terdapat segelintir murid yang berdepan kekangan telefon pintar atau capaian Internet. Malah murid yang tidak menggunakan aplikasi juga tetap mengamalkan rutin hidup sihat yang diterapkan di sekolah, sekali gus menunjukkan objektif program berjaya dicapai,” katanya.

Mengulas perancangan selepas memenangi hadiah wang tunai berjumlah USD15,000, beliau berkata pihak sekolah bercadang menambah baik aplikasi SAM, dengan memperkenalkan lebih banyak elemen gamifikasi serta kandungan pendidikan kesihatan, bagi meningkatkan keberkesanannya.

Najjah Salaamah berkata pihak sekolah juga berharap aplikasi itu dapat diperluas penggunaannya ke sekolah-sekolah lain dan komuniti setempat, melalui kerjasama dengan pelbagai agensi, selain Kementerian Kesihatan Malaysia.

Beliau turut berharap aplikasi SAM dapat terus diperkasakan sehingga menjadi platform yang boleh dimanfaatkan lebih banyak sekolah dan masyarakat, dalam usaha melahirkan generasi yang lebih sihat.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement